KUALA LUMPUR, 23 MEI 2023: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), iaitu anak syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), ingin mengumumkan pelantikan YB Wong Chen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu MDV berkuat kuasa hari ini. YB Wong Chen menggantikan Encik Khairul Azwan Harun, selepas penggalnya berakhir pada 31 Disember 2022.
YB Wong Chen mempunyai pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang perundangan korporat dan perundangan Teknologi Maklumat. Beliau memperoleh ijazah perundangan dari University of Warwick, UK dan kemudiannya telah melanjutkan pendidikan di United World College of Southeast Asia, Singapura bagi mendalami ilmu berkaitan isu-isu global dan keamanan antarabangsa. Selain daripada mempunyai minat yang mendalam dalam hal ehwal berkaitan perubahan iklim dan hak asasi manusia, beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang fiskal, ekonomi, perdagangan antarabangsa dan penggubalan polisi.
YB Wong Chen pada ketika ini sedang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Subang bagi penggal yang ketiga dan juga telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa serta Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) bagi Pendanaan Politik. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan & Ekonomi dan pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Selain itu, beliau turut menganggotai pertubuhan antarabangsa termasuk menjadi ahli bagi High-Level Working Group on Science & Technology of the Inter-Parliamentary Union (IPU), mewakili Rantau Asia Pasifik, dan ahli pertubuhan ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR). YB Wong Chen juga merupakan salah seorang daripada pengasas pertubuhan Southeast Asian Community group (SEAC).
Dengan pengalaman dan kepakaran yang luas, MDV yakin bahawa di bawah kepimpinan YB Wong Chen, MDV mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat-syarikat berasaskan teknologi serta syarikat-syarikat pemula teknologi di Malaysia dan sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan Negara. MDV juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusinya, Encik Khairul Azwan Harun, atas segala bimbingan dan sumbangan beliau kepada MDV sejak tiga tahun yang lalu.
-tamat-
Mengenai MDV – Pembiaya Teknologi Negara
Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai anak syarikat kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ICT yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara. Sejak penubuhannya lebih dua dekad yang lalu, selaras dengan perkembangan dan kemajuan ekosistem teknologi negara, MDV telah melaksanakan transformasi secara berterusan dalam segenap aspek perniagaan dan operasinya, serta mencatatkan perkembangan yang konsisten dalam menjalankan peranannya untuk menyokong, memupuk dan membimbing syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan syarikat- syarikat pemula teknologi di Malaysia dalam mencapai pertumbuhan. Pembiayaan khusus daripada MDV ternyata telah berjaya menjadi pencetus kepada kejayaan pelbagai syarikat dan projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi dalam bidang ICT, Teknologi Hijau, Bioteknologi, Teknologi Baharu dan Strategik, serta Syarikat Pemula Teknologi, dan seterusnya menyumbang kepada penjanaan sumber baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara yang bernilai tinggi. Sepanjang operasinya, MDV telah mencatatkan pelbagai pencapaian antaranya menjadi pembiaya pertama dan terbesar di Malaysia bagi program pembiayaan hutang teroka untuk syarikat pemula teknologi tempatan. Dengan kepesatan kemajuan teknologi dan digital, serta usaha berterusan negara untuk mencapai taraf negara maju, MDV akan terus kekal memainkan peranannya dengan berkesan bagi memastikan ekosistem teknologi dan syarikat pemula teknologi di Malaysia dapat terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan usaha untuk mencapai visinya sebagai Pembiaya Teknologi Negara.
Untuk maklumat lanjut tentang MDV, layari http://www.mdv.com.my/.
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Siti Ezrina Alias
Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam
+6011 3306 5216