Tiada startup dikecualikan dapat bantuan, pembiayaan

Share this post

Category: MDV in the News

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) tidak akan mengecualikan mana-mana syarikat pemula (startup) tempatan daripada mendapat bantuan pembiayaan bagi memastikan mereka tidak berhijrah untuk mendapat modal perniagaan di negara lain.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya tidak mahu kejadian startup tempatan berhijrah mendapatkan pembiayaan ke negara lain berulang seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Kita tidak boleh lupa dengan apa yang berlaku kerana kehadiran startup ini walaupun kecil, ia berupaya untuk berkembang besar dengan pantas.

“Untuk itu saya sudah pun membuat pendirian dan arahan kepada Mosti supaya tidak mengecualikan mana-mana syarikat pemula daripada sektor berteknologi ini daripada dibiayai atau dibantu sehingga mereka mendapat beberapa siri pembiayaan.

“Kita juga sebenarnya tidak berlepas tangan dalam hal ini kerana keperluan untuk menjemput modal teroka (VC) antarabangsa ke dalam negara kita juga adalah perlu supaya dapat menyokong syarikat pemula kita menjadi lebih besar dan tidak perlu berhijrah ke negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran KL Venture Finance Forum 2022 dan sambutan ulang tahun ke-20 Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Yamani Hafez Musa dan Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun.

Terdahulu Adham dalam ucap tamanya berkata, MDV telah berjaya membantu hampir 1,000 syarikat berasaskan teknologi menerusi pembiayaan sebanyak RM13.07 bilion bagi menyokong keperluan kewangan syarikat-syarikat berkenaan.

Katanya, ini adalah sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 (SUPER) yang beliau telah lancarkan pada 18 November tahun lalu.

“Menerusi MDV, pelbagai insentif diperkenalkan untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berkaitan teknologi dan berorientasikan inovasi yang terjejas akibat COVID19 untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara ke tahap maksimum.

“PMKS adalah penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan turut memangkin kepada pembentukan masa hadapan Malaysia. Pemerkasaan sektor ini dijangka akan menyumbang kepada ekonomi Malaysia yang lebih kukuh dan berdaya saing.

“Antara inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan adalah penawaran program pembiayaan khas berjumlah RM100 juta yang diuruskan oleh MDV bagi membantu syarikat pemula teknologi yang terjejas akibat penularan COVID-19.

“Sehingga kini lebih RM76.55 juta telah diluluskan bagi pembiayaan untuk 66 syarikat dan telah diagihkan kira-kira RM33.5 juta kepada 35 syarikat dalam pelbagai sektor teknologi di bawah program ini.,” katanya.

Sementara itu Yamani dalam ucapannya berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital.Katanya, kerajaan dengan kerjasama semua pihak sedang giat mempersiapkan Malaysia ke arah transformasi digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan saksama.

“Antara lain, penubuhan rantau awan baharu oleh Google Cloud di Malaysia baru-baru ini bukan sahaja petanda pendekatan sektor awam dan swasta yang akan menarik pelaburan berkualiti dalam bentuk infrastruktur digital, malah akan melengkapkan inisiatif digital negara dan memperkasakan perniagaan dan individu.

“Sektor awam sudah pun menerajui strategi mengutamakan awan dan teknologi awan akan memacu pembangunan perkhidmatan kepada generasi akan datang. Infrastruktur ini memainkan peranan penting dalam memindahkan 80 peratus sistem kerajaan ke awan menjelang akhir tahun 2022.

“Pendigitalan, penerimagunaan teknologi dan inovasi adalah penting bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Oleh itu, bagi tujuan menyokong pembangunan inovasi di Malaysia, dari 2021 hingga 2022, kerajaan telah meluluskan 99 projek dan program R&D&C&I dengan pelaburan berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor in,” katanya.

Berita Harian