MDV sedia bantu lebih banyak syarikat teknologi

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) komited memacu pertumbuhan dan menyokong pembangunan ekosistem sektor teknologi di Malaysia melalui pembiayaan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Mohamed Nadzri, berkata MDV akan mempelbagaikan sumber dana baharu melalui penerbitan bon dan sukuk yang akan dilancarkan pada suku pertama 2022, membolehkannya memberikan lebih banyak pembiayaan kepada syarikat tempatan.
Katanya, MDV menyasar untuk meningkatkan pembiayaan sebanyak 50 peratus tahun ini berbanding RM700 juta pada 2021 yang membabitkan sekitar 70 syarikat.
“MDV akan terus memainkan peranan dalam membiayai bidang teknologi yang kian membangun dan mencapai visi kami sebagai pembiaya teknologi negara,” katanya selepas majlis menandatangani pembiayaan dengan SUKE TV di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun serta Pengasas dan Pengerusi SUKE TV, Datuk AC Mizal.
Nizam berkata, pelbagai inisiatif pembiayaan akan dilaksanakan MDV kerana menyedari kepentingan sektor teknologi dalam pemerkasaan ekonomi negara.
Katanya, mandat yang diberikan kepada MDV, yang juga anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), adalah mempelbagaikan keupayaan syarikat berkaitan sektor teknologi.
“Pandemik COVID-19 memangkin hala tuju baharu yang lebih pantas dalam sektor teknologi, justeru itu MDV akan meneroka melihat kepada pembiayaan dan jalinan kerjasama dengan syarikat teknologi di Malaysia.
“Ini kerana, kami mahukan ekosistem atau jalinan rantaian sektor teknologi ini kekal kukuh. Kami tidak hanya melihat kepada syarikat utama, tetapi turut memberi perhatian kepada syarikat yang berada dalam jalinan ekosistem itu.
“Ia bagi memastikan keseluruhan rantaian akan dapat diperkasakan, sekali gus memberi impak kepada perniagaan, pekerjaan dan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, AC Mizal, berkata pembiayaan MDV kepada SUKE TV akan membuka lebih banyak peluang untuk meneroka perniagaan berdasarkan teknologi.
Beliau berkata, sebagai syarikat teknologi dalam sektor penyiaran, banyak kandungan kreatif baharu yang boleh diperkenalkan kepada orang ramai dan pembiayaan MDV akan membantu mempercepatkan lagi operasinya.
“Dengan pembiayaan MDV, kami kini dapat mengukuhkan lagi kehadiran dan kedudukan dalam industri,” katanya.