MDV sasar tingkat program pembiayaan syarikat teknologi
KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyasarkan peningkatan program pembiayaan kepada syarikat berasaskan teknologi tahun depan bagi menyokong proses pemulihan sektor itu di negara ini.
Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun, berkata bagi memacu pertumbuhan dan menyokong pembangunan sektor teknologi di Malaysia, MDV akan melaksanakan lima inisiatif utama bermula tahun ini.
Beliau berkata, inisiatif pertama yang dilaksanakan MDV yang juga anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) adalah mempelbagaikan sumber dana baharu melalui penerbitan bon dan sukuk bernilai RM2 bilion yang akan dilancarkan pada November ini.
Katanya, penerbitan bon dan sukuk ini akan memberikan MDV sumber pembiayaan baru sekaligus membolehkan pihaknya membantu lebih ramai syarikat berkaitan teknologi memperkasakan operasi mereka.
Program dana keempat MDV itu juga katanya seiring dengan saranan kerajaan agar setiap agensi mencari sumber dana sendiri dalam membantu pembangunan ekonomi negara.
“Daripada RM2 bilion itu, kita menjangkakan ia akan memberi nilai tambah sebanyak RM10 bilion pembiayaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Lebih banyak perniagaan sektor teknologi dapat dibantu. Ia juga akan meningkatkan kapasiti MDV sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam peningkatan syarikat sektor teknologi negara,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri; Ketua Pegawai Operasi MDV, Adrian Khor Yew Meng dan Ketua Pegawai Perniagaan MDV, Aimi Aizreen Nasharuddin.
Khairul Azwan berkata, selain itu MDV juga akan mengembangkan program pembiayaan Liquidity Financing for Technology Start-Ups (LIFTS 2.0) dengan tambahan dana sebanyak RM100 juta bermula tahun hadapan.
Beliau berkata, LIFTS 2.0 dijangka akan dapat memberi bantuan kewangan kepada 40 hingga 50 syarikat teknologi dengan pembiayaan maksimum sebanyak RM10 juta.
Katanya, LIFTS 2.0 akan menggunakan dana dalaman MDV namun masih menunggu kebenaran daripada kerajaan untuk pelaksanaannya.
“Bagi peserta sedia ada MDV juga, kita akan terus bantu mereka dengan menyambung moratorium selama 12 bulan bermula Januari 2022.
“Kita mengunjurkan sebanyak 66 syarikat akan mendapat manfaat daripada lanjutan moratorium ini. Ini kerana walaupun dari sudut nombor syarikat yang terbabit sedikit tetapi jumlah pembiayaan setiap syarikat itu tinggi sehingga ada yang mencecah RM100 juta.
“Tetapi ia bergantung kepada tahap operasi setiap syarikat dan mereka boleh mengambil moratorium untuk tempoh yang lebih pendek daripada yang ditawarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, dua inisiatif lain yang akan dilaksanakan MDV adalah menubuhkan anak syarikat modal teroka baharu serta pembinaan hab pembiayaan teknologi nasional.
Beliau berkata, kedua inisiatif itu juga akan bermula pada awal tahun hadapan bagi memberikan ekosistem yang lebih lengkap kepada pembiayaan dan teknologi.
Katanya, anak syarikat modal teroka baharu MDV itu akan mewujudkan peluang pembiayaan yang lebih baik untuk peringkat awal syarikat pemula dan syarikat berasaskan teknologi.
“Cadangan penubuhan Hab Pembiayaan Teknologi Nasional itu pula adalah untuk melengkapkan Agensi Pengkomersialan Teknologi (TCA) dalam mempercepatkan inovasi teknologi tempatan,” katanya.