MDV METERAI PERJANJIAN PELABURAN DENGAN KLDX UNTUK TINGKATKAN PENGUMPULAN DANA SYARIKAT TEKNOLOGI DAN PEMULA MELALUI PLATFORM IEO PERTAMA DI MALAYSIA

Category: Press Release

MDV METERAI PERJANJIAN PELABURAN DENGAN KLDX UNTUK TINGKATKAN PENGUMPULAN DANA SYARIKAT TEKNOLOGI DAN PEMULA MELALUI PLATFORM IEO PERTAMA DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER 2023: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) iaitu anak syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bersama dengan Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) hari ini telah menandatangani perjanjian pelaburan untuk jumlah yang tidak didedahkan sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan dana KLDX. Majlis tersebut diadakan di RuMa Hotel & Residences dan dihadiri Pengerusi MDV, YB Wong Chen; Pengerusi KLDX, Tan Sri Datuk Seri Nik Norzrul Thani; Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri; dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Selvarany Rasiah.

Pelaburan ini adalah signifikan kerana ia merupakan penglibatan pertama MDV dalam pasaran Tawaran Awal Bursa (IEO) selaras dengan mandat MDV untuk menyokong sektor teknologi melalui penawaran pembiayaan inovatif. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu MDV dalam mempelbagaikan saluran pembiayaan dan meningkatkan penglibatan digital melalui platform pembiayaan alternatif.

Berucap di majlis menandatangani perjanjian tersebut, YB Wong Chen, Pengerusi MDV, berkata, “Perjanjian dengan KLDX merupakan langkah penting dalam usaha berterusan MDV untuk menjulang inovasi dan meningkatkan ekonomi digital Malaysia, terutamanya dalam ekosistem pembiayaan fintech. MDV juga berhasrat untuk memanfaatkan platform ini dalam meyokong keperluan pembiayaan projek teknologi yang berkaitan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), terutamanya dalam bidang Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga. Platform IEO, yang diperkukuhkan dengan teknologi blockchain, menjadi paradigma baharu dalam pengumpulan dana. Ini kerana ia menawarkan variasi pengumpulan dana yang lebih cekap, kos efektif, dan fleksibel bagi syarikat teknologi yang ingin mengembangkan perniagaan dan operasi mereka. Ia juga boleh menyumbang kepada pengurangan kebergantungan kepada institusi kewangan tradisional dan geran kerajaan, seterusnya mewujudkan ekosistem teknologi yang lebih berdikari dan berdaya tahan.”

Beliau menambah bahawa platform ini juga akan memudahkan usaha pengumpulan dana Modal Teroka dan Hutang Teroka yang mampu menyokong pembangunan dan pertumbuhan syarikat pemula teknologi di Malaysia dan negara serantau. Ia penting bagi mencapai hasrat negara untuk menjadi hab inovasi teknologi global dan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor digital.

Sebagai platform IEO yang pertama dilancarkan di Malaysia, KLDX memperkenalkan pendekatan baharu kepada pemilikan aset iaitu melalui token digital. Inovasi ini membuka pelbagai peluang baru bagi pengumpulan dana dan pelaburan dengan membolehkan token digital untuk mewakili pelbagai kelas aset dan menyediakan alternatif kepada pasaran tradisional. Platform ini berhasrat untuk menyediakan akses kepada pasaran swasta yang lebih meluas untuk para pelabur yang bertumpu kepada pelaburan dengan nilai pertumbuhan tinggi dan pelbagai, yang biasanya terhad kepada pelabur institusi atau pelabur bernilai tinggi. Platform ini juga membantu syarikat untuk merealisasikan potensi pertumbuhan mereka melalui sumber pengumpulan dana yang selamat dan cekap dengan jumlah pengumpulan dana yang lebih tinggi berbanding platform seperti ECF dan P2P iaitu sehingga RM100.0 juta setahun.

Tan Sri Datuk Seri Nik Norzrul Thani, Pengerusi KLDX berkata, “Kami menyambut baik kerjasama dengan pembiaya teknologi yang berpengalaman sseperti MDV sebagai pelabur strategik dan rakan kerjasama KLDX. Peluang untuk bekerjasama dengan MDV dalam pelbagai kapasiti dengan memanfaatkan platform IEO juga selaras dengan misi MDV dan KLDX untuk mengubah landskap pengumpulan dana bagi syarikat baharu. Mereka (syarikat baharu) sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan dari sumber tradisional dan akan memperoleh manfaat dengan kewujudan sumber pembiayaan alternatif seperti ini. Kami optimis bahawa kerjasama ini akan membantu mengurangkan jurang pembiayaan yang sedia ada dan mewujudkan persekitaran pembiayaan yang kondusif bagi Syarikat untuk berkembang, termasuk bagi syarikat teknologi dan pemula. Kami juga menawarkan akses kepada aset pasaran swasta yang lebih baik kepada pelabur, yang biasanya (asset pasaran swata) menawarkan pulangan yang lebih tinggi. Dalam hal ini, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atas dasar pengawalseliaan yang progresif yang membolehkan penubuhan platform IEO ini.”

Selvarany Rasiah, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif KLDX, menyuarakan penghargaannya atas kerjasama dengan MDV. “Kami teruja untuk bekerjasama dengan MDV dan melihatnya sebagai langkah penting ke arah menjadikan peluang pembiayaan dan pelaburan lebih mudah diakses dalam sektor teknologi dan kelestarian. Kami percaya bahawa perkongsian ini bukan sekadar menyediakan peluang pembiayaan tetapi juga membolehkan pertumbuhan transformatif dalam sektor teknologi dan kelestarian negara selaras dengan ekonomi digital Malaysia serta transisi ekonomi karbon rendah. Proses pengumpulan dana kami selaras dengan aspirasi Malaysia untuk ekonomi digital yang dinamik dan rancak. Kami berada di persimpangan antara inovasi dan kewangan, selaras dengan semangat pendekatan progresif Malaysia terhadap pertumbuhan ekonomi di era digital. KLDX bangga kerana dapat menawarkan platform yang selamat untuk pelaburan pasaran swasta, yang berupaya memberikan peluang yang lebih saksama bagi pelabur dan usahawan.”

Nizam Mohamed Nadzri, CEO MDV pula menjelaskan bahawa sebagai sebahagian daripada perjanjian, MDV dan KLDX akan berkolaborasi dalam beberapa kapasiti, seperti mengumpul dana untuk projek yang memerlukan jumlah pembiayaan yang besar di platform KLDX; pelaburan bersama (joint investment); membangunkan produk inovatif untuk pengumpulan dana di Platform KLDX; dan penyediaan perkhidmatan berkaitan dengan aktiviti pengumpulan dana di Platform KLDX seperti khidmat ‘due diligence’ dan pemantauan. Selain itu, untuk terus mengembangkan portfolionya dalam pembiayaan Hutang Teroka, MDV merancang untuk mengumpul dana melalui Platform KLDX dengan menubuhkan dana hutang teroka pertama yang disenaraikan di platform IEO.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah mewujudkan ekonomi digital yang kukuh di Malaysia. Ia memberi peluang kepada MDV untuk meneroka bidang baharu dalam pengumpulan dana, serta memberikan keupayaan yang lebih baik untuk MDV mengembangkan portfolio serta terus menyokong syarikat teknologi, terutamanya syarikat Ekonomi Hijau, PKS dan pemula, secara mampan. Saya yakin bahawa sinergi antara MDV dan KLDX akan memacu inovasi, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memupuk sektor teknologi di Malaysia,” akhiri Nizam.

Selaras dengan aspirasi Madani, dengan visi yang dikongsi bersama dan gabungan kepakaran, MDV dan KLDX bersedia untuk memasuki era baharu pengumpulan dana, yang menjanjikan proses yang lebih inklusif, cekap, dan selaras dengan keperluan ekonomi yang lebih luas dan industri teknologi di Malaysia.

Muat turun siaran media dalam format pdf.

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:

Ezrina Alias

Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia Debt Ventures Berhad

Tel: +6011 33065216

Emel: ezrina@mdv.com.my

Eugene Lam

Ketua Eksekutif Komersial Kapital DX Sdn Bhd

Tel: +6012 8251550

Emel: eugene.lam@kldx.com

Mengenai MDV – Pembiaya Teknologi Negara

Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan)[MKD] dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ICT yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara. Sejak penubuhannya lebih dua dekad yang lalu, selaras dengan perkembangan dan kemajuan ekosistem teknologi negara, MDV telah melaksanakan transformasi secara berterusan dalam segenap aspek perniagaan dan operasinya, serta mencatatkan perkembangan yang konsisten dalam menjalankan peranannya untuk menyokong, memupuk dan membimbing syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan syarikat- syarikat pemula teknologi di Malaysia dalam mencapai pertumbuhan. Pembiayaan khusus daripada MDV ternyata telah berjaya menjadi pencetus kepada kejayaan pelbagai syarikat dan projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi dalam bidang ICT, Teknologi Hijau, Bioteknologi, Teknologi Baharu dan Strategik, serta Syarikat Pemula Teknologi, dan seterusnya menyumbang kepada penjanaan sumber baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara yang bernilai tinggi. Sepanjang operasinya, MDV telah mencatatkan pelbagai pencapaian antaranya menjadi pembiaya pertama dan terbesar di Malaysia bagi program pembiayaan hutang teroka untuk syarikat pemula teknologi tempatan. Dengan kepesatan kemajuan teknologi dan digital, serta usaha berterusan negara untuk mencapai taraf negara maju, MDV akan terus kekal memainkan peranannya dengan berkesan bagi memastikan ekosistem teknologi dan syarikat pemula teknologi di Malaysia dapat terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan usaha untuk mencapai visinya sebagai Pembiaya Teknologi Negara.

Untuk maklumat lanjut tentang MDV, layari http://www.mdv.com.my/.