MDV-Kapital DX meterai MOU, dorong kumpul dana sektor teknologi

Share this post

Category: MDV in the News

MDV-Kapital DX meterai MOU, dorong kumpul dana sektor teknologi

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) hari ini memeterai perjanjian pelaburan dengan Kapital DX Sdn Bhd (KLDX) dengan jumlah yang tidak didedahkan sebagai antara usaha KLDX untuk mengumpul dana.

Pelaburan itu menunjukkan usaha penting MDV ke pasaran tawaran bursa awal (IEO) dan sejajar dengan  tanggungjawab syarikat untuk menyokong sektor teknologi menerusi pilihan pembiayaan inovatif.

Pelaburan itu juga adalah antara langkah kerjasama untuk mempelbagaikan saluran pembiayaan MDV dan meluaskan kehadiran digitalnya menerusi penyertaan di platform pembiayaan alternatif.

Pengerusi MDV, Wong Chen berkata pemeteraian perjanjian itu menandakan langkah penting terhadap usaha berterusan MDV untuk menyokong inovasi dan meningkatkan ekonomi digital Malaysia, khususnya ekosistem teknologi kewangan.

“MDV juga berhasrat memanfaatkan platform itu untuk membiayai projek teknologi berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), terutamanya dalam bidang tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga,” katanya dalam kenyataan.

Platform berkenaan juga akan mempermudah pengumpulan dana modal teroka dan hutang teroka bagi menyokong pertumbuhan dan kemajuan syarikat pemula niaga teknologi di Malaysia dan rantau ini sebagai aspek penting dalam visi negara untuk muncul sebagai hab inovasi teknologi global dan memperkukuh kedudukannya dalam arena digital.

Sebagai platform IEO pertama yang akan dilancarkan di Malaysia, KLDX telah memperkenalkan pendekatan baharu bagi pemilikan aset menerusi token digital.

Platform ini bertujuan menawarkan pelabur yang mencari pelaburan pelbagai dan pertumbuhan tinggi kepada akses lebih baik bagi aset pasaran swasta yang kebiasannya terhad kepada kalangan pelabur institusi atau bernilai bersih tinggi.

Selain itu, platform ini membantu syarikat untuk merealisasikan potensi pertumbuhan menerusi sumber pengumpulan dana yang selamat dan cekap yang memberi kuasa kepada penerbit untuk mengumpul sehingga RM100.0 juta pada setiap tahun — saiz terbitan lebih besar berbanding dengan pendanaan awam ekuiti dan saluran rakan setara.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KLDX Selvarany Rasiah berkata kerjasama ini akan menyediakan peluang pembiayaan dan membolehkan perumbuhan transformatif sektor teknologi dan kemampanan Malaysia, seiring dengan ekonomi digital negara serta peralihannya kepada ekonomi rendah karbon. — BERNAMA

BULETINTV3