KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) dan Kapital DX bekerjasama bagi menambah baik akses kepada pengumpulan dana dan pelaburan untuk syarikat teknologi.
Kapital DX ialah platform Penawaran Petukaran Permulaan (IEO) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang membenarkan syarikat pemula niaga, syarikat peringkat pertumbuhan, projek, ]rma ekuiti persendirian, dan pemodal teroka mengumpul pembiayaan sehingga RM100 juta melalui platform itu dengan cara kos efektif.
Pengerusi MDV Khairul Azwan Harun berkata, kerjasama itu, yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan Kapital DX, akan menjadi antara inisiatif yang dirancang oleh syarikat untuk mengukuhkan syarikat teknologi dan ekosistem pendanaan syarikat pemula niaga melalui instrumen pembiayaan alternatif.
“Kebanyakan syarikat pemula niaga masih kurang pendedahan kepada kaedah baharu untuk mengumpul dana seperti pendanaan awam, pembiayaan rakan setara, dan terkini IEO yang diselia oleh SC.
“Kebanyakan daripada mereka juga masih bergantung kepada pinjaman daripada institusi kewangan atau geran kerajaan untuk meningkatkan potensi perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya semasa Forum Kewangan Venture KL 2022 dan sambutan ulang tahun ke-20 MDV di sini hari ini.
Khairul juga menekankan kepentingan syarikat tersenarai dan konglomerat besar di Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan ekosistem pendanaan syarikat pemula niaga dengan melabur dalam dana yang bertujuan untuk membantu syarikat pemula niaga tempatan.
“Terdapat kelembapan pelaburan oleh pelabur dari Eropah dan Amerika Syarikat di Malaysia disebabkan koneik Ukraine-Rusia yang berpanjangan. Dalam hal ini, MDV berbesar hati untuk menawarkan kepakaran kami dalam menguruskan dana untuk syarikat pemula niaga.
“Kami lebih mengalu-alukan perkongsian berpotensi dengan pemain pasaran untuk memastikan pertumbuhan holistik syarikat pemula niaga berpotensi tinggi kami,” katanya.
Khairul juga menyatakan bahawa melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk membantu merapatkan jurang pembiayaan dalam ekosistem keusahawanan, MDV dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan ICT, bioteknologi, teknologi hijau dan lain-lain sektor teknologi yang sedang berkembang pesat dan bernilai tambah.
“Ini dapat dilihat melalui pencapaian kami sehingga kini dalam membiayai hampir 1,000 projek teknologi dengan pembayaran berjumlah RM13.07 bilion dalam pelbagai bidang teknologi,” tambahnya.
MDV ditubuhkan pada tahun 2002 untuk menyediakan pembiayaan yang eeksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ekonomi berimpak tinggi dan dipacu teknologi yang dikenal pasti serta diberi keutamaan oleh kerajaan Malaysia sebagai pemacu pertumbuhan masa depan.
— BERNAMA