Akses pembiayaan elak syarikat pemula ‘lari’ ke Singapura, Indonesia

Category: MDV in the News

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal kehilangan lebih banyak syarikat pemula niaga teknologi yang berpotensi menjadi syarikat unicorn jika akses kepada pembiayaan tidak dipermudahkan, sehingga mendorong penghijrahan lebih banyak syarikat berkaitan ke negara jiran termasuk Singapura dan Indonesia.

Pengerusi Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), Khairul Azwan Harun, berkata banyak syarikat pemula niaga teknologi tempatan memutuskan untuk berpindah ke negara yang mampu menawarkan kemudahan lebih baik, sekali gus menyaksikan negara kehilangan ‘permata’ yang mungkin menjadi syarikat unicorn pada masa depan.

“Banyak faktor menyebabkan akses kepada pembiayaan di Malaysia khusus untuk syarikat pemula niaga teknologi menjadi sukar. Kita melihat institusi kewangan tidak mahu mengambil risiko menyalurkan pembiayaan atau pinjaman kerana kebanyakan syarikat pemula niaga teknologi hanya memiliki idea dan konsep perniagaan.

“Dengan risiko yang dimiliki syarikat ini termasuk aliran tunai dan model perniagaan, ia menyukarkan institusi kewangan meluluskan pembiayaan/pinjaman. Tidak kurang juga ada syarikat yang mungkin merujuk kepada institusi yang tidak tepat,” katanya pada sidang media KL Venture Finance Forum 2022 (KLVF22) dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 MDV di sini, hari ini.

Khairul Azwan berkata, selain negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, syarikat pemula niaga teknologi tempatan juga mula beralih ke beberapa negara Asia Barat serta Hong Kong untuk memulakan perniagaan dan berkembang susulan prosedur serta proses untuk mendapatkan sokongan kewangan yang lebih mudah.

“Kita tidak mahu lebih banyak syarikat yang berpotensi ini berhijrah kerana kekurangan yang ada di Malaysia. Adalah menjadi satu kerugian kepada negara jika ia berterusan berlaku. Justeru, kita perlu melakukan sesuatu untuk mengekang perkara ini terus terjadi,” katanya.

Beliau menjelaskan, KLVF22 yang akan berlangsung Isnin ini akan menjadi platform terbaik untuk merungkai permasalahan penghijrahan syarikat pemula niaga teknologi ke luar negara, berbanding terus bertapak di Malaysia.

Katanya, forum sehari yang akan disempurnakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba itu akan memberi penekanan kepada pelbagai isu yang dihadapi syarikat pemula niaga teknologi tempatan.

“Dalam forum ini, kita akan bangkitkan bagaimana memacu dan mengembangkan syarikat pemula niaga teknologi tempatan bukan sekadar di peringkat tempatan, malah ke negara ASEAN lain dan mungkin ke peringkat lebih tinggi.

“Banyak perkara akan diberi tumpuan termasuk isu akses kewangan dan bagaimana boleh syarikat ini meneroka peluang berkembang di negara jiran lain seperti Filipina dan Vietnam menerusi langkah penggabungan. Kita berharap, forum buat pertama kali dianjurkan ini mengetengahkan isu dan potensi syarikat tempatan pasca pandemik,” katanya.

KLVF22 yang berlangsung di ibu negara dijangka disertai 300 peserta merangkumi syarikat pemula niaga teknologi, institusi kewangan dan agensi kerajaan yang terbabit secara langsung dalam perkembangan syarikat berkaitan di Malaysia.

Dengan tema ‘Memacu Syarikat Pemula Niaga’, ia akan menjadi platform strategik kepada speaker berkongsi kepakaran termasuk membabitkan dana teroka sebagai pembiayaan alternatif kepada syarikat pemula niaga, selain turut merangkumi aspek utama seperti peluang, cabaran dan trend semasa dalam ruang lingkup syarikat pemula niaga.

Mengenai Sambutan Ulang Tahun Ke-20 MDV, Khairul Azwan berkata, sejak penubuhannya, anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan itu telah menyalurkan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM13 bilion dengan syarikat pemula niaga meraih manfaat dengan pembiayaan berjumlah sekitar RM180 juta setakat ini.

“Konsep pembiayaan MDV menjurus kepada mandat untuk membantu syarikat memanfaatkan hutang teroka (venture debt) untuk memulakan perniagaan. Ketika ini, MDV akan memberi tumpuan kepada syarikat pemula niaga teknologi berpangkalan di Malaysia,” katanya.

Berita Harian