MDV lulus pembiayaan RM122.65 juta untuk projek peralihan tenaga

Category: News

MDV lulus pembiayaan RM122.65 juta untuk projek peralihan tenaga

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), meluluskan pembiayaan berjumlah RM122.65 juta kepada enam syarikat berasaskan teknologi yang melaksanakan projek peralihan tenaga menerusi Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional (NETF).

Menurut MOSTI, pembiayaan itu turut merangkumi insentif bersasar bernilai RM40.09 juta bagi mengurangkan kos pembiayaan dan meningkatkan daya tarikan projek. Insentif ini ditawarkan melalui mekanisme seperti rebat serta penambahbaikan kredit, tertakluk kepada penilaian MDV.

Daripada enam syarikat berkenaan, lima memfokuskan kepada projek tenaga boleh baharu termasuk solar dan biogas, manakala sebuah lagi terbabit dalam inisiatif kecekapan tenaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, MDV berada dalam kedudukan strategik sebagai agensi pembiayaan utama bagi menyalurkan dana berimpak tinggi untuk inisiatif peralihan tenaga, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan mampan.

Pengerusi MDV, Wong Chen pula menegaskan pihaknya komited memacu penggunaan tenaga boleh baharu melalui pembiayaan projek penting, sekali gus menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara. Katanya, usaha itu juga sejajar dengan visi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara ke arah masa depan rendah karbon dan menangani cabaran perubahan iklim.

Secara keseluruhan, MDV menyasarkan pembiayaan antara 20 hingga 30 projek atau syarikat teknologi di bawah NETF, bergantung kepada jumlah dana yang diperlukan bagi setiap projek. Inisiatif itu dijangka bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon secara ketara, malah membuka peluang ekonomi baharu dan menyokong pertumbuhan mampan negara.

Bernama