MDV ANJUR PROGRAM KLINIK PEMBIAYAAN UNTUK SYARIKAT-SYARIKAT BERASASKAN TEKNOLOGI DI PERAK
MDV Dengan Kerjasama PKNPk, Digital Perak dan STeP Sasar Bantu Mempromosikan dan Memupuk Lebih Banyak Syarikat Teknologi di Perak
IPOH, Rabu, 26 JUN — Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menganjurkan sesi klinik pembiayaan bertempat di Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP). Sesi ini diadakan untuk melengkapkan para usahawan teknologi atau teknopreneur tempatan dengan maklumat penting mengenai kemudahan dan program pembiayaan MDV, serta mengetengahkan penyelesaian pembiayaan yang sesuai untuk pertumbuhan dan pengembangan perniagaan.
Program ini menyasarkan syarikat teknologi dalam sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Penyelenggaraan, Pembaikan & Operasi (MRO), teknologi hijau, teknologi baharu seperti IR4.0, Edu-tech, Agri-tech, deep-technology, syarikat pemula dengan produk atau perkhidmatan inovatif, serta modal teroka, ekuiti swasta, dan pelabur angel.
Berucap pada majlis hari ini, Exco Komunikasi, Multimedia, dan NGO Negeri Perak, YB Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi berkata, “Peranan MDV sebagai pembiaya teknologi negara yang berpengalaman dalam menyokong pengembangan Syarikat berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi dengan model perniagaan yang inovatif, ternyata amat bernilai dan penting terutamanya dalam memastikan syarikat-syarikat ini memperolehi akses kepada pembiayaan yang lebih menyeluruh dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.”
“Objektif program ini, ialah untuk memperkenalkan MDV sebagai alternatif kepada solusi pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi pembiayaan tradisional. Ini sejajar dengan fokus kerajaan negeri untuk membangunkan teknopreneur dari Perak menerusi sokongan holistik di samping mengkomersilkan projek inovatif yang boleh menjana pulangan ekonomi yang lebih baik untuk negeri ini,” katanya.
MDV bersama-sama rakan strategik, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dan STeP saling bekerjasama dalam program ini untuk membantu mempromosi dan memupuk lebih banyak syarikat teknologi yang berpangkalan di Perak.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Ketua Pegawai Perniagaan MDV, Marazizi Omar.
Mengulas lanjut mengenai majlis dan Kerjasama MDV dengan PKPNk, Digital Perak dan STeP, Marazizi Omar menekankan kepentingan inisiatif sedemikian untuk syarikat berasaskan teknologi dengan menyediakan platform untuk mereka meneroka pelbagai pilihan dan penyelesaian pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan.
“MDV sentiasa tampil dan bersedia untuk menyokong keperluan pembiayaan bagi syarikat dan usahawan berasaskan teknologi di Malaysia. Kami memahami model perniagaan inovatif mereka dan boleh mengenal pasti solusi pembiayaan yang paling sesuai untuk fasa perniagaan semasa agar ia dapat membantu mereka meningkatkan operasi ke tahap lebih tinggi. Melalui program klinik pembiayaan ini, kami amat berharap agar para usahawan yang hadir akan bertemu dengan pegawai-pegawai dari MDV yang hadir pada program ini untuk mendapatkan cadangan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka,” katanya.
Sesi Klinik Pembiayaan MDV ini merupakan siri market outreach, di mana MDV akan bertemu dengan syarikat berasaskan teknologi untuk memahami keperluan perniagaan mereka dan memperkenalkan produk pembiayaan MDV yang bersesuaian. Program ini direka dengan tujuan untuk menyediakan platform yang dapat menghubungkan syarikat-syarikat ini dengan pakar industri, serta untuk memperoleh pengetahuan tentang pelbagai peluang pembiayaan yang tersedia dan meneroka solusi pembiayaan yang terbaik untuk perniagaan mereka.
MDV menjadi perintis dalam menyediakan solusi pembiayaan inovatif sejak ia ditubuhkan pada tahun 2002. MDV telah menyalurkan pembiayaan berjumlah lebih RM13 bilion kepada pelbagai syarikat berasaskan teknologi, yang merangkumi kira-kira 54 peratus syarikat Bumiputera dan lebih 90 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta menyokong lebih daripada 1,184 projek merentasi pelbagai sektor teknologi berimpak tinggi sejak penubuhannya. Dari perspektif pembangunan negara pula, MDV telah membantu membina 5,900 menara 3G/4G, menyumbang kepada penjanaan pendapatan bernilai RM21 bilion, dan menyokong 25,000 peluang pekerjaan.
-tamat-
–Muat turun siaran akhbar versi pdf
Mengenai MDV – Pembiaya Teknologi Negara
Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ICT yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara. Sejak penubuhannya lebih dua dekad yang lalu, selaras dengan perkembangan dan kemajuan ekosistem teknologi negara, MDV telah melaksanakan transformasi secara berterusan dalam segenap aspek perniagaan dan operasinya, serta mencatatkan perkembangan yang konsisten dalam menjalankan peranannya untuk menyokong, memupuk dan membimbing syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan syarikat- syarikat pemula teknologi di Malaysia dalam mencapai pertumbuhan. Pembiayaan khusus daripada MDV ternyata telah berjaya menjadi pencetus kepada kejayaan pelbagai syarikat dan projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi dalam bidang ICT, Teknologi Hijau, Bioteknologi, Teknologi Baharu dan Strategik, serta Syarikat Pemula Teknologi, dan seterusnya menyumbang kepada penjanaan sumber baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara yang bernilai tinggi. Sepanjang operasinya, MDV telah mencatatkan pelbagai pencapaian antaranya menjadi pembiaya pertama dan terbesar di Malaysia bagi program pembiayaan hutang teroka untuk syarikat pemula teknologi tempatan. Dengan kepesatan kemajuan teknologi dan digital, serta usaha berterusan negara untuk mencapai taraf negara maju, MDV akan terus kekal memainkan peranannya dengan berkesan bagi memastikan ekosistem teknologi dan syarikat pemula teknologi di Malaysia dapat terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan usaha untuk mencapai visinya sebagai Pembiaya Teknologi Negara.
Untuk maklumat lanjut tentang MDV, layari http://www.mdv.com.my/
Mengenai Digital Perak Corporation Holdings
Untuk maklumat lanjut mengenai Digital Perak, sila layari : www.digitalperak.com.my
Disiarkan oleh: PR and Communications Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) | Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Puan Siti Ezrina Alias Ketua Perhubungan Awam & Komunikasi Tel: 603 – 2617 2905/ 011-3306 5216 Emel: ezrina@mdv.com |
Strategic Communications & Special Projects Unit Digital Perak Corporation Holdings | Puan Nurfarah Khairin binti Ahmad Khairi Pengurus Projek, Pejabat KPE Digital Perak Corporation Holdings Tel: (+605) 526 1881 Emel: nurfarah@digitalperak.com.my |