PENARAFAN AA3/STABIL/P1 MDV DIKEKALKAN, MENCERMINKAN PERANAN STRATEGIK SYARIKAT DALAM MENYOKONG EKOSISTEM TEKNOLOGI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER 2023: RAM Ratings telah mengekalkan penarafan kredit korporat AA3 Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dan penarafan jangka pendek P1 dengan prospek yang stabil. Penarafan ini turut merangkumi Program Kertas Komersial Konvensional dan Islam/Nota Jangka Sederhana RM2.0 bilion MDV yang diterbitkan pada 2022.
Penarafan ini bukan sahaja memperlihatkan asas MDV yang kukuh dengan didokong oleh sokongan kukuh Kerajaan, tetapi juga peranan strategiknya sebagai pembiaya teknologi utama Malaysia. Ia turut menekankan sumbangan MDV dalam meningkatkan ekonomi negara, selaras dengan matlamat Malaysia untuk membangunkan sektor teknologinya, serta menyokong perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata bahawa MDV mengalu alukan pengekalan penarafan ini oleh RAM Ratings kerana ia membuktikan dedikasi sepenuhnya oleh MDV terhadap pelaksanaan mandatnya dan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pihak berkepentingan serta Kerajaan. Selain itu, penarafan AA3 ini meningkatkan keupayaan MDV untuk memanfaatkan dana luaran dan mengukuhkan lagi peranannya pentingnya dalam mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi negara.
“Pengekalan penarafan bagi program sukuk/bon MDV bernilai RM2.0 bilion ini terutamanya adalah penting memandangkan dana yang diraih melalui program ini berupaya memastikan yang MDV dapat terus menyokong keperluan pembiayaan syarikat teknologi tempatan yang berpotensi tinggi, seperti dalam sektor ICT dan Komunikasi. Apatahlagi Malaysia kini sedang berada di tahap genting bagi transformasi digital dan tenaga, serta memerlukan sektor teknologi yang pesat serta disokong rapi bagi mencapai objektif Ekonomi Madani. Dalam hal ini, MDV komited untuk terus memainkan peranan penting bagi merealisasikan sasaran Kerajaan ini,” kata Nizam.
Sejak pertama kali MDV menerima penarafan kredit korporat pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk mencapai kemandirian kewangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap sokongan kewangan secara langsung daripada Kerajaan, MDV terus mengukuhkan komitmennya untuk membantu syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan syarikat-syarikat pemula teknologi yang berhadapan kekangan untuk mendapatkan akses pembiayaan, dan mensasarkan untuk terus merapatkan jurang pembiayaan tersebut.
“Sebagai pembiaya teknologi utama Negara, pengekalan penarafan kredit korporat MDV ini akan terus menjadi asas penting untuk MDV terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, inovasi, serta kemajuan yang diterajui teknologi untuk Malaysia,” akhiri Nizam.
-tamat-
Mengenai MDV – Pembiaya Teknologi Negara
Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai anak syarikat kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif bagi membangunkan sektor ICT yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara. Sejak penubuhannya lebih dua dekad yang lalu, selaras dengan perkembangan dan kemajuan ekosistem teknologi negara, MDV telah melaksanakan transformasi secara berterusan dalam segenap aspek perniagaan dan operasinya, serta mencatatkan perkembangan yang konsisten dalam menjalankan peranannya untuk menyokong, memupuk dan membimbing syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan syarikat-syarikat pemula teknologi di Malaysia dalam mencapai pertumbuhan. Pembiayaan khusus daripada MDV ternyata telah berjaya menjadi pencetus kepada kejayaan pelbagai syarikat dan projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi dalam bidang ICT, Teknologi Hijau, Bioteknologi, Teknologi Baharu dan Strategik, serta Syarikat Pemula Teknologi, dan seterusnya menyumbang kepada penjanaan sumber baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara yang bernilai tinggi. Sepanjang operasinya, MDV telah mencatatkan pelbagai pencapaian antaranya menjadi pembiaya pertama dan terbesar di Malaysia bagi program pembiayaan hutang teroka untuk syarikat pemula teknologi tempatan. Dengan kepesatan kemajuan teknologi dan digital, serta usaha berterusan negara untuk mencapai taraf negara maju, MDV akan terus kekal memainkan peranannya dengan berkesan bagi memastikan ekosistem teknologi dan syarikat pemula teknologi di Malaysia dapat terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan usaha untuk mencapai visinya sebagai Pembiaya Teknologi Negara.
Untuk maklumat lanjut tentang MDV, layari http://www.mdv.com.my/.
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Siti Ezrina Alias
Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam
Malaysia Debt Ventures Berhad
+6011 3306 5216
ezrina@mdv.com.my