Usahawan pemula niaga teknologi boleh mohon TSFRF fasa kedua bermula 8 Jun

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: June 2, 2020

Usahawan pemula niaga teknologi boleh mohon TSFRF fasa kedua bermula 8 Jun

Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) hari ini mengumumkan penutupan fasa pertama permohonan bagi program pembiayaan Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) berjumlah RM100 juta, yang telah dibuka sejak 18 Mei hingga 31 Mei yang lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, MDV telah menerima sebanyak 49 permohonan di bawah program pembiayaan TSFRF dengan dana pembiayaan dipohon yang berjumlah di antara RM1 juta hingga RM2.5 juta, daripada syarikat dalam pelbagai sektor teknologi termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), e-dagang, logistik, teknologi kewangan Fintech, ‘big data’, perubatan, aplikasi berkaitan hartanah dan kenderaan elektrik (EV).

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, fasa kedua permohonan akan dibuka selama dua minggu bermula 8 Jun hingga 21 Jun ini berikutan dana di bawah program pembiayaan berkenaan masih mempunyai baki untuk disalurkan.

”Jurang masa di antara kedua fasa ini adalah bagi memberi laluan kepada jawatankuasa saringan khusus TSFRF untuk menjalankan proses saringan ke atas setiap permohonan yang diterima bagi memastikan MDV dapat memenuhi jangka waktu pemprosesan yang lebih singkat di bawah program pembiayaan ini dan memastikan pembayaran dapat dilakukan tepat pada masanya bagi permohonan yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua permohonan akan disaring berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kedudukan strategik syarikat dalam segmen atau sektor yang berkaitan, potensi perkembangan syarikat di peringkat serantau atau global serta kedudukan syarikat yang kompetitif.

Antara faktor yang akan diambil kira di bawah tiga kriteria utama ini adalah pengurusan, sokongan pelabur modal teroka, pendapatan dan pertumbuhan pendapatan, nilai perusahaan, peluang pasaran, dan daya saing.

Apabila proses saringan oleh jawatankuasa saringan TSFRF ini telah selesai, setiap permohonan juga perlu melalui proses penilaian kredit oleh MDV.

Untuk maklumat lanjut berhubung TSFRF, sila layari laman web MDV di www.mdv.com.my.

-Niaga Times