TSFRF buka permohonan untuk tempoh 2 minggu lagi

Category: MDV in the News Post Date: June 2, 2020

TSFRF buka permohonan untuk tempoh 2 minggu lagi

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) akan menjalankan Kemudahan Bantuan Pendanaan Permulaan Teknologi (TSFRF) untuk tempoh dua minggu lagi dari 8-21 Jun, 2020.

Kemudahan itu, yang telah dibuka untuk permohonan dari 18-31 Mei, 2020, telah menerima sebanyak 49 permohonan, dengan jumlah pembiayaan yang dimohon antara RM1 juta dan RM2.5 juta.

“Ia daripada syarikat teknologi yang layak dalam pelbagai sektor teknologi, termasuk ICT, e-dagang, logistik, fintech, Data Raya, perubatan, aplikasi berkaitan hartanah dan kenderaan elektrik (EV),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nizam Mohamed Nadzri dalam kenyataan.

Beliau berkata susulan TSFRF belum dilaksanakan sepenuhnya, permohonan berikutnya untuk kemudahan tersebut akan dijalankan untuk tempoh dua minggu lagi.

Jurang antara tempoh permohonan itu membolehkan MDV menjalankan proses saringan oleh jawatankuasa saringan khusus untuk kemudahan tersebut supaya MDV dapat mengekalkan tempoh masa pemprosesan yang lebih cepat di bawah kemudahan itu dan memastikan pengagihan tepat pada masanya kepada pemohon yang berjaya.

Semua permohonan akan disaring berdasarkan tiga kriteria utama — kedudukan strategik syarikat dalam segmen/sektor yang berkaitan; potensi untuk pertumbuhan serantau/global; dan kedudukannya yang kompetitif.

Nizam berkata kebanyakan syarikat teknologi yang telah memohon untuk TSFRF adalah syarikat yang mempunyai asas kukuh dan model perniagaan yang berdaya maju yang menjana pendapatan purata antara RM100,000 dan RM700 juta dengan penilaian syarikat antara RM5 juta dan RM500 juta.

“Bagaimanapun, berdasarkan situasi ekonomi semasa dan perniagaan, syarikat ini memerlukan bantuan aliran tunai segera untuk mengekalkan perniagaan mereka dan terus berkembang, itu tujuan TSFRF dirangka,” katanya.

TSFRF, yang ditawarkan dalam bentuk modal kerja dan keperluan pengembangan perniagaan, bertujuan memberi bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar untuk VC atau syarikat permulaan teknologi yang disokong oleh agensi kerajaan yang menerima impak daripada situasi ekonomi semasa dan gangguan pembiayaan.

Kemudahan itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada antara 40 dan 60 syarikat permulaan teknologi untuk menangani cabaran mudah tunai dengan mempunyai kemudahan modal kerja untuk mengurangkan masalah aliran tunai pada masa depan.

Kemudahan tersebut ditawarkan dengan kadar faedah sebanyak 3.5 peratus setahun atas jumlah terkumpul. Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mdv.com.my/

-Bernama