Tawar dana RM50j menerusi NFCP-VDP

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: November 14, 2019

Tawar dana RM50j menerusi NFCP-VDP

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) komited menawarkan dana melebihi RM50 juta kepada syarikat teknologi tempatan menerusi program pembiayaan terbaharunya iaitu Program Pembangunan Vendor-NFCP (NFCP-VDP).

Inisiatif pembiayaan itu diwujudkan bagi membantu kontraktor, subkontraktor dan pembekal yang mahu menjalankan projek berkaitan dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Naib Presiden Kanan (Perniagaan) MDV, Aimi Aizreen Nasharuddin berkata, meskipun pelaksanaan NFCP dijangka dipacu penyedia perkhidmatan besar, pihaknya turut melihat keperluan pembiayaan bagi subkontraktor atau pembekal yang dilantik vendor utama.

Menurutnya, kumpulan itu berkemungkinan memerlukan pembiayaan bagi menjalankan kerja asas seperti pemasangan kabel gentian, kabinet dan kerja sivil seperti tiang, kerja pembaikan jalan serta penggalian.

“Setiap permohonan bagi program NFCP-VDP dihadkan hingga RM5 juta iaitu ia ditawarkan bersama kadar pembiayaan kompetitif, proses kelulusan mudah, struktur fasiliti berdasarkan kontrak dan jaminan kredit.

“Selari dengan mandat MDV, program ini secara signifikannya membantu menyumbang terhadap aspirasi kerajaan dalam menyediakan infrastruktur digital yang maju melalui pelaksanaan projek di bawah NFCP.

“Perkara ini meneruskan peranan sosioekonomi MDV dalam membangunkan infrastruktur teknologi negara dengan lebih baik,” katanya ketika berucap pada Hari Pembiayaan MDV 2019 di sini, semalam.

Acara berkenaan memfokuskan kepada pelaksanaan NFCP serta isu berkaitan seperti penggunaan teknologi 5G dan landskap dunia teknologi Malaysia pada masa hadapan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Tan Chuan Ou.

Mengulas lanjut, Aimi Aizreen berkata, pembiayaan ditawarkan MDV bukan saja memberi impak positif kepada NFCP tetapi menyediakan peluang bagi perkembangan perniagaan.

Katanya, usaha itu juga dapat merangsang keupayaan dengan meningkatkan kecekapan dan skala ekonomi sesebuah syarikat kontraktor itu untuk menjadi lebih berdaya tahan, kompetitif dan mampan.

“Perkara ini membolehkan vendor utama meningkatkan penyampaian perkhidmatan, seterusnya dapat menyediakan pelanggan dengan pengalaman yang dipertingkatkan,” katanya.

Harian Metro