MDV: ULASAN BERHUBUNG PERKEMBANGAN EKONOMI DAN KEWANGAN DI MALAYSIA PADA SUKU TAHUN KETIGA 2020 (S3 2020)

Category: Press Release Post Date: November 17, 2020

MDV: ULASAN BERHUBUNG PERKEMBANGAN EKONOMI DAN KEWANGAN DI MALAYSIA PADA SUKU TAHUN KETIGA 2020 (S3 2020)

 KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2020 Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menyambut baik perkembangan positif yang dilihat pada aktiviti ekonomi Malaysia sepanjang suku tahun ketiga 2020 (S3 2020) seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini. Walaubagaimanapun, MDV sedia maklum bahawa usaha berterusan adalah diperlukan bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi kekal berterusan. MDV sebagai anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan pembiaya khusus bagi sektor teknologi di Malaysia, turut kekal memainkan peranan yang aktif bagi menyokong proses pemulihan sektor teknologi di negara ini. 

Dalam hal ini, MDV telah mengambil inisiatif pantas dalam memberikan bantuan kepada pelanggan sedia ada selain terus menyediakan akses pembiayaan kepada syarikat-syarikat berasaskan teknologi dengan mensasarkan kenaikan yang signifikan bagi bilangan kemudahan pembiayaan yang akan diluluskan pada tahun 2021. MDV turut mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan di bawah program Technology Startup Financing Relief Facility (TSFRF) dalam memastikan syarikat-syarikat pemula teknologi di negara ini turut dapat menikmati manfaat daripada pemulihan menyeluruh yang sedang dilihat, serta membina ketahanan daripada sebarang implikasi negatif akibat daripada kenaikan semula bilangan kes COVID-19 di negara ini. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini turut bertujuan untuk menyokong keberkesanan polisi semasa yang diperkenalkan oleh Kerajaan serta menyumbang kepada kelestarian perbelanjaan sektor awam dan swasta. 

Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun, berkata bahawa MDV kini sedang mengenalpasti inisiatif-insiatif lain yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Menteri Kewangan kepada kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) untuk meningkatkan sumbangan yang bertumpu kepada pemulihan ekonomi serta peningkatan peluang pekerjaan. 

“Sebagai pembiaya khusus sektor teknologi di Malaysia, MDV komited untuk terus menyediakan dana bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi yang dilihat berperanan penting dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19. Sehubungan ini, MDV berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telahpun memberikan kelulusan kepada MDV untuk melancarkan Dana Keempat (Fourth Fund) kami melalui program terbitan Sukuk berdasarkan penilaian kredit korporat MDV sendiri. Pelancaran Dana ini adalah bagi memastikan syarikat serta projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi akan terus mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi terutamanya dalam situasi semasa ekonomi yang sangat mencabar.” 

Tambah Azwan, MDV juga terus melaksanakan langkah-langkah dalaman bagi memastikan pembayaran yang cepat kepada vendor dan pembekal syarikat, selain meneruskan pelan pelaburan yang telah dirancang untuk infrastruktur digitial MDV. 

Muat turun versi pdf