MDV rancang terbit bon kurangkan kebergantungan kepada kerajaan

Category: MDV in the News Post Date: April 24, 2019

MDV rancang terbit bon kurangkan kebergantungan kepada kerajaan

BUTTERWORTH: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) bercadang menerbitkan bon bernilai sekurang-kurangnya RM200 juta tahun depan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman yang dijamin kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Mohamed Nadzri, berkata MDV juga akan menerima penarafan agensi tempatan untuk menilai bon berkenaan.

“Jadi, kami dapat menerbitkan bon itu berdasarkan penarafan kendiri untuk menjana sendiri dana dan mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman yang dijamin kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Libat Urus Pelanggan MDV di sini, hari ini.

Beliau berkata, bon itu dijangka diterbitkan pada suku pertama 2020, dan menurutnya, ia turut bergantung kepada kecukupan dana semasanya.

Menurut beliau, ketika ini MDV memiliki dana sebanyak RM270 juta yang cukup untuk membiayai kira-kira 50 syarikat sehingga tahun depan.

“Kami telah mengeluarkan RM11.7 bilion pinjaman sejak 2002 yang memberi manfaat kepada 800 syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) teknologi dan berasaskan teknologi dan menerima pembiayaan balik kira-kira RM9 bilion.

“Sebanyak 180 syarikat masih berhutang kepada kami dengan jumlah prinsipal kira-kira RM1.5 bilion,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi MDV, Datuk Seri Lee Kah Choon berkata PKS perlu merebut peluang mendapatkan pinjaman itu khususnya syarikat tenaga boleh baharu, infrastruktur telekomunikasi, pendigitalan serta syarikat pemula niaga.

Beliau berkata pembiayaan MDV terhadap sektor kecekapan tenaga ketika ini berjumlah RM99.1 juta berikutan tumpuan terhadap teknologi hijau dan kecekapan tenaga

“Ketika ini, kami membiayai kira-kira 30 peratus daripada projek tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro dan kami menjangka pertumbuhan sektor itu akan menjadi perubahan yang diperlukan mengenai bagaimana Malaysia melihat peranan sumber semula jadi dan alam sekitar dalam pembangunan sosio-ekonomi,” katanya.

Kah Choon berkata, MDV mempunyai daya fleksibel untuk memahami masalah dan risiko pembiayaan projek teknologi.

Ia juga berupaya membangunkan program untuk membiayai projek berisiko tinggi dengan mewujudkan metodologi penilaian kredit yang bersesuaian.

“Pembiayaan MDV dan insentif kerajaan yang dibuat khusus untuk syarikat perkhidmatan tenaga mampu memacu pelaksanaan projek kecekapan tenaga di sektor bangunan dan merangsang pertumbuhan teknologi mampan di negara ini,” katanya.

Source: Berita Harian