MDV rancang kurangkan pembiayaan tidak berbayar

Ketua Pegawai Eksekutif, Nizam Mohamed Nadzri bercakap di MDV, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: January 24, 2019

MDV rancang kurangkan pembiayaan tidak berbayar

Ketua Pegawai Eksekutif, Nizam Mohamed Nadzri bercakap di MDV, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif, Nizam Mohamed Nadzri bercakap di MDV, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), unit di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) merancang mengurangkan pembiayaan tidak berbayar (NPF) bersih kepada empat peratus tahun ini daripada sembilan peratus yang dicatatkan pada 31 Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Mohamed Nadzri, berkata syarikat pembiaya teknologi itu juga merancang untuk menurunkan pembiayaan tidak berbayar kasar kepada 14 peratus tahun ini daripada 24 peratus tahun lalu.

“MDV akan mencapainya menerusi pembayaran balik dan pemulihan semula semua kemudahan yang dimiliki dengan bekerja keras bersama pelanggan kami.

“Kami akan cuba memudahkan mereka dengan memperoleh tunai daripada projek lain atau pendapatan lain untuk bayar kepada kami,” katanya kepada pemberita sempena taklimat prestasi syarikat 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengerusinya, Datuk Seri Lee Kah Choon, berkata MDV kini dalam pelan strategi perniagaan lima tahun yang dibahagikan kepada tiga teras iaitu transformasi, bertujuan untuk mencipta momentum; pengukuhan untuk meningkatkan infrastruktur dan platform serta serantau dalam usaha mengembangkan prospek perniagaan MDV.

“Program transformasi sangat diperlukan bagi memastikan budaya MDV menyokong syarikat teknologi pemula niaga dan sektor yang diwakilinya.

“Trasnformasi MDV juga akan menyaksikan permulaan dan pembangunan hubungan serantau dan antarabangsa bersama-sama dengan penyertaan ECF/P2P,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MDV akan berkembang selari dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di mana teknologi hijau akan mengubah penerimaan Malaysia terhadap sumber semula jadi dan pembangunan sosio ekonomi.

“MDV ketika ini membiayai 73 projek dalam sektor teknologi hijau. Pembiayaan dalam teknologi hijau berjumlah RM810.7 juta membabitkan RM519 juta dalam tenaga boleh diperbaharui dan RM134.8 juta dalam kecekapan tenaga,” katanya.

MDV sudah melaksanakan penyediaan Dana Keempat dan penerokaan pendanaan alternatif serta penjenamaan semula program hutang teroka dan meluaskannya menerusi tranche kedua.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang akan menyaksikan pengukuhan perniagaan MDV dan pertumbuhan aset yang berterusan.

“Melangkah ke hadapan, bagi tempoh lima tahun bermula 2020, MDV berharap dapat menyaksikan perkembangan positif ini dan pada masa sama menyokong pengembangan geografi pelabur,” katanya

Sehingga kini, MDV memperuntukkan RM11.7 bilion pembiayaan kepada 758 syarikat teknologi, membabitkan 878 projek dalam pelbagai bidang teknologi.

 

Source: Berita Harian