MDV peruntuk lebih RM50 juta dana bagi NFCP-VDP

Category: MDV in the News Post Date: November 13, 2019

MDV peruntuk lebih RM50 juta dana bagi NFCP-VDP

KUALA LUMPUR, 13 Nov– Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) memperuntukkan dana berjumlah lebih RM50 juta di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara- Program Pembangunan Vendor (NFCP-VDP) untuk menyokong pembangunan ekonomi digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Mohamed Nadzri berkata MDV sentiasa memainkan peranan dan menyumbang bagi menyediakan akses pembiayaan di bahagian yang kurang mendapat perkhidmatan dibawah mandatnya, khususnya bagi projek yang dijalankan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) teknologi dan syarikat pemula niaga.

“Inilah apa yang NFCP-VDP sasarkan untuk capai – merapatkan jurang pembiayaan dihadapi oleh syarikat kecil, ia mungkin menghalang sumbangan mereka untuk kejayaan NFCP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu disesuaikan untuk memenuhi keperluan pembiayaan syarikat teknologi yang layak menjalankan sebarang projek berkaitan dengan NFCP yang terdiri daripada kontraktor atau subkontraktor dan pembekal.

Dengan had pembiayaan sehingga RM5.0 juta bagi setiap permohonan, program itu menawarkan kadar pembiayaan kompetitif, proses kelulusan mudah, struktur kemudahan berdasarkan keperluan kontrak setiap projek, serta jaminan kredit.

Program itu berfungsi untuk menyediakan keperluan pembiayaan subkontraktor yang dilantik bagi syarikat-syarikat utama dalam menyiapkan kerja mereka seperti memasang kabel fiber, kabinet, kotak kabel, kerja-kerja sivil termasuk dataran kejat, kerja-kerja jalan dan kerja-kerja penggalian.

Sehingga kini, ia telah membiayai lebih daripada 880 projek teknologi dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), teknologi hijau, bioteknologi dan teknologi baharu dengan lebih daripada pembiayaan sebanyak RM11.8 bilion telah disalurkan.

Dalam pembangunan infrastruktur rangkaian negara, MDV telah membantu membiayai pembinaan lebih daripada 5,900 menara 3G dan 4G di seluruh Malaysia.

MDV juga merupakan satu-satunya pembiaya di Malaysia yang menawarkan Pembiayaan Modal Teroka (Venture), model pembiayaan patuh Syariah yang setaraf dengan model hutang teroka yang digunakan oleh lebih banyak pasaran maju, bagi pemula niaga teknologi disokong modal teroka pertumbuhan tinggi.

Bernama