MDV mahu tingkatkan sumbangan cergaskan kembali ekonomi, buka peluang pekerjaan

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: November 20, 2020

MDV mahu tingkatkan sumbangan cergaskan kembali ekonomi, buka peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) sedang meneliti inisiatif seterusnya bagi menyahut saranan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkatkan sumbangan yang dirancang bagi mencergaskan kembali ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Sebagai pembiaya teknologi yang berdedikasi, MDV komited untuk terus menyediakan pembiayaan ke arah pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi yang sangat penting untuk pemulihan ekonomi selepas COVID-19, kata pengerusi Khairul Azwan Harun.

“Dalam hal ini, kami dengan senang hati ingin menyatakan Kementerian Kewangan telah memberikan persetujuannya untuk MDV mengumpulkan dana keempat kami menerusi penerbitan program sukuk berasaskan penarafan kredit korporat kendiri MDV, bagi memastikan syarikat dan projek teknologi berdaya maju akan terus mendapat akses dana yang mencukupi, di tengah-tengah iklim ekonomi yang amat mencabar,” kata beliau dalam satu kenyataan Selasa.

MDV, anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan),  berperanan secara aktif untuk menyokong pemulihan sektor teknologi kerana usaha berterusan amat diperlukan bagi memastikan momentum permulihan tidak terhenti.

Dalam satu kenyataan, GLC berkata pihaknya telah bertindak pantas dalam menyediakan bantuan kepada pelanggan sedia ada dan akan terus memberikan akses tanpa halangan pembiayaan kepada syarikat teknologi dan nampaknya ia akan meningkatkan kelulusan kemudahan pembiayaan secara signifikan pada 2021.

MDV juga telah mempercepatkan kelulusan di bawah Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga (TSFRF) bagi memastikan pemula niaga tempatan dapat menyertai dalam pemulihan secara meluas yang dilihat pada masa ini serta membina daya tahan terhadap sebarang kejatuhan ekoran kemunculan semula kes COVID-19 pada masa ini.

“Kami juga telah mengambil inisiatif ini untuk menyokong langkah-langkah dasar yang berkesan oleh kerajaan dan menyumbang kepada perbelanjaan sektor awam dan swasta,” katanya.

Khairul Azwan berkata MDV juga terus melaksanakan langkah-langkah dalaman untuk memastikan pembayaran yang cepat kepada vendor dan pembekalnya dan meneruskan dengan pelaburan yang dirancang untuk infrastruktur digitalnya.

Bernama