MDV LANCAR PROGRAM PEMBIAYAAN TECHNOLOGY START-UP FUNDING RELIEF FACILITY (TSFRF) UNTUK SYARIKAT TEKNOLOGI PERINGKAT PERMULAAN YANG TERJEJAS AKIBAT PENULARAN WABAK COVID-19

Category: Press Release Post Date: May 12, 2020

MDV LANCAR PROGRAM PEMBIAYAAN TECHNOLOGY START-UP FUNDING RELIEF FACILITY (TSFRF) UNTUK SYARIKAT TEKNOLOGI PERINGKAT PERMULAAN YANG TERJEJAS AKIBAT PENULARAN WABAK COVID-19

  • TSRF bermatlamat untuk menyediakan bantuan aliran tunai segera dan bersasar, khusus untuk syarikat teknologi peringkat permulaan yang disokong oleh syarikat modal teroka atau disokong oleh agensi kerajaan bagi tujuan kelangsungan operasi dan aktiviti perniagaan 
  • Dana khusus sebanyak RM100.00 juta dengan sasaran pembiayaan bagi 40 sehingga 60 syarikat teknologi peringkat permulaan di bawah program TSFRF ini 
  • Proses permohonan yang mudah bagi mempercepatkan proses pembayaran kepada syarikat yang terjejas 

 

KUALA LUMPUR, 11 MEI 2020: Lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, berhubung program pembiayaan baru untuk syarikat teknologi peringkat permulaan, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) hari ini mengumumkan pelancaran program pembiayaan berjumlah RM100.00 juta yang dinamakan Technology Start-Ups Funding Relief Facility (TSFRF) beserta maklumat terperinci berhubung program itu termasuk rangka program, syarat-syarat kelayakan serta proses permohonan yang berkaitan. Program TSFRF ini menyasarkan pembiayaan bagi 40 sehingga 60 syarikat teknologi peringkat permulaan dan akan dibuka untuk permohonan bermula 18 Mei 2020 sehingga 31 Mei 2020 bagi kumpulan pemohon yang pertama. Permohonan seterusnya akan dibuka sehingga keseluruhan dana berjumlah RM100.00 juta ini telah dimanfaatkan sepenuhnya. 

Program pembiayaan TSFRF ini adalah dibuka kepada semua syarikat teknologi peringkat permulaan tempatan yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan. Untuk layak memohon, syarikat perlu memenuhi salah satu kriteria berikut: syarikat dimiliki secara majoriti oleh warganegara Malaysia; atau majoriti pekerja adalah warganegara Malaysia; atau majoriti pendapatan dijana di Malaysia. 

Program pembiayaan ini telah dibangunkan lanjutan daripada pelaksanaan beberapa sesi perbincangan dengan wakil-wakil syarikat teknologi peringkat permulaan; syarikat-syarikat modal teroka; pemegang-pemegang taruh MDV iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan Kementerian Kewangan (MOF); serta agensi-agensi pembiaya dan wakil industri iaitu Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle); Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP); Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC); dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Cradle, MAVCAP, MaGIC dan MDEC khususnya, telah memberikan maklumat berhubung keperluan utama syarikat-syarikat konstituen mereka dan telah memainkan peranan penting dalam membangunkan program pembiayaan TSFRF ini. Setiap agensi ini juga akan menyediakan akses kepada syarikat teknologi peringkat permulaan di bawah seliaan mereka bagi proses permohonan program pembiayaan ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, “Sebagai pembiaya teknologi di negara ini, MDV telah menyahut seruan pihak Kerajaan kepada sektor swasta, terutamanya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam merangsang ekonomi melalui langkah-langkah yang menyokong keperluan operasi dan kewangan perniagaan melalui program pembiayaan TSFRF ini.” 

Program pembiayaan TSFRF ini adalah ditawarkan dalam bentuk modal kerja dan pembangunan perniagaan, dengan matlamat menyediakan bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar, khusus untuk syarikat teknologi peringkat permulaan yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan, yang terjejas oleh keadaan ekonomi kini dan menghadapi kekangan kewangan bagi memastikan syarikat-syarikat ini berupaya untuk meneruskan operasi serta aktiviti perniagaan mereka. 

“Program pembiayaan TSFRF ini bertujuan untuk menangani masalah kekangan kecairan yang dihadapi oleh syarikat teknologi peringkat permulaan dalam situasi semasa ini dengan penawaran kemudahan modal kerja bagi mengurangkan isu-isu aliran tunai pada masa hadapan. Ia juga bertujuan untuk memendekkan tempoh penerimaan dana, melalui proses permohonan yang lebih ringkas; proses ketekunan wajar (due diligence) dan penilaian kredit yang lebih cepat; keperluan dokumen yang tidak rumit; serta proses pembayaran yang mudah dan cepat. Selain itu, para pemohon juga tidak perlu membayar apa-apa yuran atau kos tambahan yang lain bagi program pembiayaan ini,” kata Nizam. 

“Lebih utama, tiada cagaran diperlukan selain daripada jaminan peribadi dan debenture yang merupakan sebahagian daripada langkah pengurangan risiko syarikat,” tambah Nizam. 

Nizam menjelaskan lebih lanjut bahawa sama seperti kemudahan kredit pusingan, di bawah program pembiayaan TSFRF ini, pengeluaran boleh dipohon mengikut permintaan atau berdasarkan keperluan aliran tunai bergulir selama 6 bulan bagi setiap pemohon. Baki prinsipal tertunggak boleh dibawa ke 6 bulan berikutnya, memberikan fleksibiliti dalam menguruskan pembayaran balik. 

“Ini bermaksud setiap pemohon mempunyai pilihan untuk membayar faedah pembiayaan sementara pembayaran balik amaun prinsipal boleh dibawa ke 6 bulan berikutnya dan seterusnya sehingga tempoh tamat kemudahan pembiayaan tersebut,” jelas Nizam 

Sejak tercetusnya wabak COVID-19 yang mempunyai kesan signifikan pada skala global, termasuk bagi ekonomi Malaysia, MDV telah mengambil pelbagai insiatif untuk meringankan beban yang dihadapi oleh syarikat-syarikat teknologi – khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat teknologi peringkat permulaan. Ini termasuk mempercepatkan proses penilaian pinjaman bagi memastikan ketersediaan dana apabila diperlukan dan mempercepatkan proses pengeluaran bagi membolehkan para pelanggan membina kapasiti, serta menawarkan penangguhan (moratorium) pembayaran balik pinjaman kepada syarikat berasaskan teknologi yang terjejas bagi menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat tersebut serta merapatkan jurang aliran tunai mereka. MDV juga memberikan pilihan kepada pelanggannya (mengikut kes) untuk penjadualan atau penyusunan semula pembiayaan bagi membantu aliran tunai mereka.

“MDV komited dalam terus menyokong pihak Kerajaan, terutamanya MOSTI dan MOF, dalam usaha meringankan beban kewangan syarikat teknologi di Malaysia dan membantu dalam pemulihan semula ekonomi. Oleh itu, kami berharap agar syarikat-syarikat teknologi peringkat permulaan yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan akan menggunakan peluang ini untuk memohon program pembiayaan TSFRF yang ditawarkan oleh MDV ini, bagi memastikan pemerkasaan, pemulihan serta perkembangan mereka yang berterusan,” akhiri Nizam. 

Untuk maklumat lanjut berhubung TSFRF, sila layari laman web MDV di www.mdv.com.my. 

 

Download media release in pdf version here