MDV KOMITED TERUS BIAYA PROJEK DI BAWAH SEKTOR TEKNOLOGI HIJAU

Category: Press Release Post Date: February 16, 2021

MDV KOMITED TERUS BIAYA PROJEK DI BAWAH SEKTOR TEKNOLOGI HIJAU

MDV pembiaya tertinggi di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan sejumlah RM912.4 juta pembiayaan diluluskan untuk 64 syarikat teknologi hijau di Malaysia

PADANG TERAP KEDAH, 15 FEBRUARI 2021 – Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) di dalam satu kenyataan pada hari ini, menjelaskan bahawa sehingga kini, agensi pembiayaan tersebut telah meluluskan sebanyak RM912.4 juta pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) untuk sebanyak 64 syarikat teknologi hijau di Malaysia semenjak skim itu mula diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 2010. Jumlah pembiayaan ini telah menjadikan MDV sebagai pembiaya tertinggi di bawah skim tersebut dan meletakkan MDV sebaris dengan bank-bank komersial terbesar di Malaysia dari segi pembiayaan teknologi hijau di negara ini.
Dalam satu sesi taklimat media yang diadakan di sebuah loji janakuasa elektrik tenaga boleh diperbaharui (biomas) di Padang Terap pada hari ini, Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun turut memberitahu bahawa MDV kini sedang membiayai sejumlah 38 projek dengan nilai pembiayaan sebanyak RM381.0 juta di bawah sektor tenaga hijau di Malaysia. Daripada jumlah itu, RM255.0 juta merupakan pembiayaan bagi projek tenaga boleh diperbaharui, RM82.5 juta pula bagi projek kecekapan tenaga, manakala baki RM43.1 juta adalah bagi pelbagai projek hijau yang berkaitan.
Beliau berkata, bagi keseluruhan projek yang telah dibiayai oleh MDV itu, kapasiti elektrik yang dihasilkan daripada stesen-stesen janakuasa berasaskan biogas, biomas, mini hidro dan solar adalah sebanyak 152 megawatt.
“MDV sentiasa konsisten dalam usaha untuk menyokong sektor teknologi hijau di Malaysia dan akan terus komited untuk mencari dana bagi menyokong program-program pembiayaan kami. Selaras dengan ini, pihak MDV juga kini dalam usaha untuk melancarkan sebuah program sukuk berjumlah RM2.0 bilion pada tahun ini untuk menyokong keperluan pembiayaan MDV bagi tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang,” jelas Azwan.
“Program sukuk yang baru ini telah pun diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan saya ingat dalam suku ketiga tahun ini, sebahagian daripadanya akan mula diterbitkan,” tambah beliau lagi.
Selain daripada menjadi salah satu pembiaya di bawah skim GTFS, MDV juga telah memperkenalkan program pembiayaan Energy Performance Contracting Fund (EPC) bagi syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO) yang terlibat dalam perlaksanaan program cekap tenaga dalam sektor bangunan bagi meningkatkan pembiayaan dalam sektor kecekapan tenaga serta mendorong pelaksanaan projek kecekapan tenaga di negara ini.
“Program EPC ini telah diperkenalkan oleh MDV dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), di mana pihak MDV akan memberikan pembiayaan prinsipal kepada peminjam, manakala kerajaan melalui KeTSA akan memberi subsidi kepada kos pembiayaan bukan prinsipal seperti kos jaminan untuk memastikan peminjam mendapat kemudahan pinjaman pada kos yang lebih kompetitif dan munasabah.”

Tambah Azwan lagi, pada masa ini, MDV merupakan satu-satunya agensi pembiayaan yang menawarkan program seperti EPC ini di Malaysia.
Mengulas lanjut tentang peranan MDV di dalam pembangunan sektor teknologi hijau di Malaysia, Azwan menekankan bahawa MDV merupakan antara pembiaya terawal di negara ini yang telah mengenalpasti potensi sektor teknologi hijau untuk menjadi satu komponen penting dalam sektor teknologi negara secara keseluruhannya bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Azwan lagi, MDV berhasrat untuk terus membiayai syarikat berasaskan teknologi yang terlibat dengan projek berkaitan teknologi hijau termasuk projek kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui kerana MDV percaya bahawa walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor teknologi hijau akan terus berkembang seiring dengan matlamat negara menjadi peneraju dalam sektor itu di Asia. Sehubungan itu, MDV sebagai pembiaya teknologi negara akan terus memainkan peranan penting dalam sektor ini dalam menyokong Kerajaan untuk mencapai sasaran pembangunan lestari negara.

Muat turun versi Pdf