MDV komited tambah akses pembiayaan firma teknologi

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: November 17, 2020

MDV komited tambah akses pembiayaan firma teknologi

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyasarkan peningkatan kelulusan kemudahan pembiayaan kepada syarikat berasaskan teknologi tahun depan bagi menyokong proses pemulihan sektor itu di negara ini.

Anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu turut mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan di bawah program ‘Technology Startup Financing Relief Facility’ (TSFRF) bagi memastikan syarikat pemula teknologi di negara ini dapat menikmati manfaat daripada pemulihan menyeluruh.

Langkah itu juga membantu syarikat terbabit membina ketahanan daripada sebarang implikasi negatif akibat kenaikan semula bilangan kes COVID-19 di Malaysia.

Semua inisiatif terbabit bertujuan menyokong keberkesanan polisi semasa yang diperkenalkan kerajaan serta menyumbang kepada kelestarian perbelanjaan sektor awam dan swasta.

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun, berkata MDV kini sedang mengenalpasti inisiatif lain yang boleh dilaksanakan bagi menyahut gesaan Menteri Kewangan kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya meningkatkan sumbangan yang bertumpu kepada pemulihan ekonomi serta peningkatan peluang pekerjaan.

“Sebagai pembiaya khusus sektor teknologi di Malaysia, MDV komited untuk terus menyediakan dana bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi yang dilihat berperanan penting dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

“Sehubungan ini, MDV berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan Malaysia memberikan kelulusan kepada MDV untuk melancarkan Dana Keempat melalui program terbitan sukuk berdasarkan penilaian kredit korporat MDV sendiri.

“Pelancaran dana ini adalah bagi memastikan syarikat serta projek berasaskan teknologi berpotensi tinggi akan terus mempunyai akses kepada pembiayaan mencukupi terutama dalam situasi semasa ekonomi yang sangat mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Azwan berkata, MDV juga terus melaksanakan langkah dalaman bagi memastikan pembayaran yang cepat kepada vendor dan pembekal syarikat, selain meneruskan pelan pelaburan yang telah dirancang untuk infrastruktur digitalnya.

Berita Harian