MDV kekal proaktif sedia dana sokong sektor teknologi

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: November 17, 2020

MDV kekal proaktif sedia dana sokong sektor teknologi

Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) komited untuk bukan sekadar memainkan peranan yang aktif bagi menyokong proses pemulihan sektor teknologi di Malaysia, malah mahu melaksanakan usaha berterusan bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi kekal berlanjutan.

MDV dalam satu kenyataan berkata, inisiatif pantas bantuan kepada pelanggan sedia ada telah dilaksanakan selain penyediaaan akses bagi pembiayaan kepada syarikat-syarikat berasaskan teknologi juga terus dilakukan dengan sasaran kenaikan yang signifikan bagi bilangan kemudahan pembiayaan yang akan diluluskan pada tahun 2021.

“Kami turut mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan di bawah program Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) dalam memastikan syarikat-syarikat pemula teknologi di negara ini turut dapat menikmati manfaat daripada pemulihan menyeluruh yang sedang dilihat, serta membina ketahanan daripada sebarang implikasi negatif akibat daripada kenaikan semula bilangan kes Covid-19 di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti inisiatif-insiatif lain yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Menteri Kewangan kepada kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan sumbangan yang bertumpu kepada pemulihan ekonomi serta peningkatan peluang pekerjaan.

“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) telah pun memberikan kelulusan kepada MDV untuk melancarkan Dana Keempat kami melalui program terbitan Sukuk berdasarkan penilaian kredit korporat MDV sendiri.

“Pelancaran Dana ini adalah bagi memastikan syarikat serta projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi akan terus mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi terutamanya dalam situasi semasa ekonomi yang sangat mencabar,” jelasnya.

Tambah Azwan, MDV juga terus melaksanakan langkah-langkah dalaman bagi memastikan pembayaran yang cepat kepada vendor dan pembekal syarikat, selain meneruskan pelan pelaburan yang telah dirancang untuk infrastruktur digitial MDV.

NIAGATIMES