MDV dapat kelulusan lancar dana keempat

Category: MDV in the News Post Date: November 17, 2020

MDV dapat kelulusan lancar dana keempat

KUALA LUMPUR – Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk melancarkan dana keempat melalui program terbitan Sukuk berdasarkan penilaian kredit korporat MDV sendiri.

Pelancaran dana ini bagi memastikan syarikat serta projek berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi akan terus mempunyai akses kepada pembiayaan mencukupi terutamanya dalam situasi semasa ekonomi yang sangat mencabar ini.

MDV adalah anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan pembiaya khusus bagi sektor teknologi di Malaysia, turut kekal memainkan peranan yang aktif bagi menyokong proses pemulihan sektor teknologi di negara ini.

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, MDV memainkan peranan aktif bagi menyokong proses pemulihan sektor teknologi negara ini dengan mengambil inisiatif pantas dalam memberikan bantuan kepada pelanggan sedia ada.

Selain itu, MDV terus menyediakan akses pembiayaan kepada syarikat-syarikat berasaskan teknologi dengan mensasarkan kenaikan yang signifikan bagi bilangan kemudahan pembiayaan yang akan diluluskan pada tahun 2021.

MDV dalam kenyataannya berkata, ia mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan di bawah program Technology Startup Financing Relief Facility (TSFRF) dalam memastikan syarikat-syarikat pemula teknologi di
negara ini menikmati manfaat daripada pemulihan menyeluruh yang sedang dilihat serta membina ketahanan daripada sebarang implikasi negatif akibat peningkatan semula kes Covid-19.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini bertujuan untuk menyokong keberkesanan polisi semasa yang diperkenalkan oleh kerajaan serta menyumbang kepada kelestarian perbelanjaan sektor awam dan swasta.

Khairul Azwan menambah, MDV kini sedang mengenalpasti inisiatif-insiatif lain yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Menteri Kewangan kepada kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) untuk meningkatkan sumbangan yang bertumpu kepada pemulihan ekonomi serta peningkatan peluang pekerjaan.

“Sebagai pembiaya khusus sektor teknologi di Malaysia, MDV komited untuk terus menyediakan dana bagi pertumbuhan dan pembangunan sektor teknologi yang dilihat berperanan penting dalam pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” katanya yang menyambut baik perkembangan positif yang dilihat pada aktiviti ekonomi Malaysia sepanjang suku tahun ketiga 2020 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, MDV sedia maklum bahawa usaha berterusan diperlukan bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi kekal berterusan.

MalaysiaGazette