MDV biaya hampir RM1 bilion projek tenaga hijau

Share this post

Category: MDV in the News Post Date: February 15, 2021

MDV biaya hampir RM1 bilion projek tenaga hijau

PADANG TERAP, 15 Feb  — Malaysia Debt Ventures Bhd. (MDV) telah meluluskan dana berjumlah RM912.4 juta untuk projek dalam sektor tenaga hijau, sekaligus menjadi pembiaya tertinggi di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) sejak ia diperkenalkan pada 2010.

Menurut Pengerusi MDV Khairul Azwan Harun, pembiayaan itu diluluskan untuk 64 syarikat bagi menyokong sektor teknologi hijau dan juga tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

“Setakat hari ini nilai pembiayaan semasa untuk sektor ini adalah RM381 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM255 juta merupakan pembiayaan bagi projek tenaga boleh diperbaharui.

“Sebanyak RM82.5 pula untuk membiayai projek kecekapan tenaga, manakala baki RM43.1 juta bagi pelbagai projek hijau yang berkaitan,” katanya kepada Bernama selepas melawat sebuah tapak projek stesen janakuasa elektrik tenaga boleh diperbaharui (biomas) di Kuala Nerang dekat sini hari ini.

Lawatan berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MDV Nizam Mohamed Nadzri.

Khairul Azwan berkata, bagi keseluruhan projek yang telah dibiayai oleh MDV setakat ini, kapasiti elektrik yang dihasilkan daripada stesen-stesen janakuasa berasaskan biogas, biomas, mini hidro dan solar itu adalah sebanyak 152 megawatt.

Katanya MDV, yang merupakan anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), sentiasa konsisten dalam usaha untuk menyokong sektor teknologi hijau di negara ini dan akan terus komited untuk mencari dana bagi menyokong program pembiayaan mereka.

“Pihak MDV juga kini dalam usaha melancarkan sebuah program sukuk berjumlah RM2 bilion pada tahun ini bagi menyokong program pembiayaan MDV untuk tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

“Ia telah pun diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan saya ingat dalam suku ketiga tahun ini, sebahagian daripadanya akan mula diterbitkan,” katanya.

Beliau percaya walaupun negara berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor teknologi hijau akan terus berkembang seiring dengan matlamat negara untuk menjadi peneraju dalam sektor itu di Asia.

“MDV sebagai pembiaya teknologi negara akan terus memainkan peranan penting dalam sektor ini bagi menyokong kerajaan mencapai sasaran pembangunan negara lestari,” katanya.

Sementara itu Khairul Azwan berkata, untuk meningkatkan pembiayaan dalam sektor kecekapan tenaga serta mendorong pelaksanaan projek sektor berkenaan, MDV telah memperkenalkan program pembiayaan Dana Kontrak Prestasi Tenaga (EPC).

“Dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) kita telah memperkenalkan program EPC, yang mana pihak kerajaan melalui KeTSA akan memberi subsidi kepada kos pembiayaan seperti kos jaminan (bukan prinsipal).

“Kerajaan menyalurkan sejumlah wang untuk membiayai bahagian faedah, prinsipal datang daripada MDV (jumlah pembiayaan), supaya peminjam kita akan dapat kemudahan pinjaman dengan lebih kompetitif dan munasabah,” katanya.

BERNAMA