Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

RM300 juta biayai program teknologi hijau

-Utusan Malaysia-

KUALA LUMPUR 3 Mei – Malaysia Debt Ventures Bhd. (MDV), yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, memperuntukkan RM300 juta pada tahun ini bagi Program Pembiayaan Teknologi Hijau yang baharu dilancarkan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pengawai Eksekutif Md Zubir Ansori Yahaya berkata, di bawah program itu, MDV akan berusaha sama dengan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia, bagi mengenal pasti syarikat yang berpotensi mendapat perakuan hijau bagi mendapatkan bantuan kewangan.

“Teknologi Hijau adalah pemacu utama di dalam pembangunan negara ini dan merupakan satu rangsangan bagi melakukan perubahan di dunia.

“Malaysia berada pada kedudukan yang sangat baik menjadi peneraju global di dalam teknologi hijau. Kita komited memainkan peranan di dalam pertumbuhan industri ini ke arah masa depan mampan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di sini hari ini.

Program Pembiayaan Teknologi Hijau adalah bidang fokus ke-tiga MDV, selepas Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dan Bioteknologi.

Program MDV adalah bagi syarikat teknologi hijau berkembang melampaui peringkat pra pengkomersialan.

Dengan adanya kemudahan pinjaman baharu itu, syarikat yang layak akan dapat menerima kontrak pembiayaan dari serendah RM250,000, dengan margin pembiayaan sehingga 85 peratus daripada nilai kontrak dan tempoh pinjaman sehingga 10 tahun.

“Di MDV, kami berusaha keras untuk mengisi jurang pembiayaan di dalam ekosistem kewangan sambil menyediakan pembiayaan bagi pertumbuhan tinggi di dalam sektor baharu muncul seperti ICT, bioteknologi dan teknologi hijau,” kata Zubir.

Untuk memudahkan lagi proses pinjaman bagi peminjam yang berpotensi, ia telah dimudahkan, dengan memakan masa tidak lebih daripada 45 hari bekerja selepas mengemukakan dokumentasi projek dan syarikat yang lengkap.

Selain kemudahan pembiayaan, MDV juga menyediakan perkhidmatan bernilai tambah terhadap para pelanggannya, dari perkhidmatan khidmat nasihat kepada para pelanggannya sebagai panduan di segi amalan terbaik industri. – BERNAMA

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer