Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

RM120 juta sokong PKS

MALAYSIA Debt Ventures Bhd (MDV) anak syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan, memperkenalkan dua produk baru iaitu iFactoring dan Struktur Pembiayaan Berkaitan Ekuiti yang menawarkan pembiayaan sehingga RM120 juta bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT); bioteknologi dan teknologi hijau.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Zubir Ansori Yahaya berkata, dengan tempoh penerimaan singkat hanya dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja, produk terbabit mampu meningkatkan keupayaan modal kerja syarikat untuk melaksanakan projek, sekali gus membolehkan peminjam memperoleh lebih banyak projek pada satu-satu masa tanpa berdepan masalah aliran tunai dan kewangan.

Beliau berkata, menerusi iFactoring, MDV akan membeli akaun penghutang perdagangan daripada syarikat teknologi tempatan yang layak dan ditukarkan dalam bentuk tunai.

“MDV akan membuat bayaran pendahuluan kepada pemohon sehingga 80 peratus dan bakinya akan disimpan sebagai jaminan sebelum dikembalikan selepas menerima akaun penghutang perdagangan secara penuh.

“Bagi Struktur Pembiayaan Berkaitan Ekuiti pula, MDV akan menawarkan diskaun pembiayaan menarik kepada pelanggan dengan menukarkan baki tertunggak sedia ada syarikat kepada bentuk ekuiti,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kedua-dua produk terbabit di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kemudahan pembiayaan itu akan menyokong syarikat teknologi PKS berkembang melepasi peringkat prapengkomersilan yang merangkumi pembiayaan baru dan pengembangan sektor perbelanjaan modal, modal kerja dan projek atau kontrak yang diterima.

Dengan saiz dana RM4.1 bilion, MDV yang ditubuhkan pada 2002 menawarkan penyelesaian pembiayaan inovatif dan menggalakkan inisiatif bagi memacu pertumbuhan ICT, bioteknologi dan teknologi hijau berasaskan keperluan pelanggan.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer