Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

PNB lantik Zarinah, Awang Adek sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melantik Tan Sri Zarinah Anwar, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari dan Soedirman Aini sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang baharu.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan ahli lembaga pengarah Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohammed Bujang Mohammed Nor, Tan Sri Datuk Asmat Kamaluddin dan Tan Sri Seri Ainum Mohamed Saaid, yang telah bersara pada 31 Disember 2016.

Dalam satu kenyataan akhbar, PNB juga turut mengumumkan pelantikan Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Datuk Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Datuk Dr Nik Ramlah Mahmood sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) yang baharu.

Mereka menggantikan ahli lembaga pengarah sebelum ini iaitu Tan Sri Md. Desa Pachi, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Tan Sri Ainum Mohamed Saaid, yang turut bersara pada Dis 31, 2016.

Pelantikan baharu ini berkuat kuasa sebaik sahaja selesai pemprosesan segala dokumen berkanun yang berkenaan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata beliau mengalu-alukan pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah baharu.

“Pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, kewangan dan pelaburan akan memberi sumbangan besar ke arah kejayaan berterusan PNB, yang asasnya telah pun diperkukuhkan oleh Ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB yang terdahulu.”

Abdul Wahid yakin kehadiran mereka akan merangsang PNB dalam mencapai wawasannya untuk menjadi sebuah Syarikat Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PNB serta ASNB, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah yang terdahulu iaitu Tan Sri Datuk Amar Haji Bujang, Tan Sri Datuk Asmat, Tan Sri Seri Ainum, Tan Sri Md. Desa dan Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid, atas dedikasi dan sumbangan mereka terhadap pertumbuhan Kumpulan PNB yang membanggakan sehingga kini.”

— BERNAMA

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer