Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

MDV tawar RM200j komersial hak IP

Xpix Gal0.pagespeed.ic .XjeSDRrZ6A

-Berita Harian

Skim jadi sumber cagaran syarikat dapat pembiayaan

Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) membuka ruang kepada syarikat tempatan dengan hak harta intelek (IP) yang berpotensi dikomersialkan supaya memohon bantuan daripada dana RM200 juta di bawah Skim Pembiayaan Harta Intelek (IPFS).

Naib Presiden Bahagian Perancangan Korporat dan Komunikasi, Amiruddin Kemat, berkata skim berkenaan yang dilancarkan baru-baru ini membolehkan mana-mana syarikat menjadikan hak IP sebagai sumber cagaran tambahan bagi mendapat pembiayaan.
Rangsang tambah pelaburan

Beliau berkata, bantuan kewangan itu bermatlamat merangsang lebih banyak pelaburan daripada syarikat yang mempunyai keupayaan teknologi, sekali gus menggalakkan usaha inovasi di negara ini.

“Buat masa ini, kami sedang menilai tiga permohonan yang membabitkan syarikat bergiat dalam bidang teknologi maklumat (IT), teknologi hijau serta bioteknologi,” katanya dalam satu pertemuan dengan BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, skim berkenaan juga akan membantu mengatasi kerumitan yang sering dihadapi syarikat berfokus teknologi dalam usaha mereka mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

“Syarikat yang menerima pembiayaan ini akan mendapat rebat faedah dua peratus di samping kos penilaian pengkomersialan IP secara percuma yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.
IPFS mula diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2013 tahun lalu dalam usaha untuk memupuk inovasi dalam kalangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping menyemarakkan lagi produktiviti masing-masing.

xpix_gal0.pagespeed.ic_.XjeSDRrZ6A

Bioteknologi didapati antara sektor yang mencatat peningkatan dari segi pembiayaan daripada MDV. – Foto hiasan

Kerajaan sudah mengenal pasti penghasilan serta pengkomersialan hak IP sebagai pemacu penting kreativiti, inovasi serta pengetahuan yang semuanya membentuk ramuan penting pertumbuhan ekonomi mapan menjelang 2020.

Bagaimanapun, dalam kalangan industri adalah diketahui bahawa hampir mustahil bagi sesebuah PKS yang mempunyai hak IP bernilai seperti paten, jenama atau reka bentuk tetapi tidak mempunyai cagaran yang teguh berpeluang mendapat bantuan kewangan daripada bank.

Bagi tujuan itu, MDV, sebagai sebuah syarikat dana modal teroka diberi mandat oleh kerajaan untuk menguruskan skim berkenaan yang dilancarkan pertengahan tahun ini.

Antara ciri utama IPFS ialah pembiayaan hingga RM10 juta atau 80 peratus daripada IP yang dinilai, tempoh pembiayaan selama lima tahun, 50 peratus jaminan disediakan oleh kerajaan dan ditadbir oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

Hak IP didaftar

Syarikat terbabit mesti mempunyai hak IP yang didaftarkan serta dinilai di samping memenuhi beberapa set kriteria produk standard MDV.

Sementara itu, Amiruddin berkata, bioteknologi didapati menjadi antara sektor yang mencatat peningkatan dari segi pembiayaan berikutan perkembangan bidang itu sebagai penyumbang penting ekonomi negara.

“Hingga kini, MDV meluluskan pembiayaan berjumlah RM350 juta kepada 33 projek berkaitan bioteknologi daripada kira-kira 500 syarikat yang sudah mendapat bantuan kewangan sejak 2008,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan antara lain terdiri daripada penghasilan baja, biokimia serta bahan buatan.

“Berdasarkan penilaian daripada pertumbuhan beberapa sektor seperti biomass, bioperubatan dan biotenaga, kami yakin jumlah pembiayaan projek yang diluluskan di bawah sektor bioteknologi akan mencecah hingga RM500 juta menjelang 2015,” katanya.

Ketika ini, 75 peratus projek yang diluluskan oleh MDV dibangunkan syarikat PKS.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer