Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

MDV sokong Dasar Lorong Hijau merangsangkan PKS Malaysia

-Bernama

KUALA LUMPUR – Malaysian Debt Ventures Bhd (MDV), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan yang Diperbadankan (MoF), hari ini mengumumkan komitmen penuhnya ke arah pelaksanaan Dasar Lorong Hijau.

Skim yang baharu diperkenalkan itu, satu inisiatif oleh kerajaan untuk terus merancakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus mengiktiraf kepentingan PKS kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya berkata dasar itu akan membantu lebih ramai PKS mendapatkan kelebihan dan seterusnya memperbaiki daya saing dalam sektor teknologi.

Md Zubir berkata dengan kadar yang disubsidikan iaitu dua peratus setahun, insentif cukai, pengecualian duti setem dan keutamaan dalam aktiviti pemerolehan oleh syarikat-syarikat MoF Inc, MDV yakin yang dasar itu akan mewujudkan peluang yang lebih baik untuk PKS yang inovatif untuk melancarkan perniagaan mereka.

Sejak penubuhannya pada 2002, MDV telah meluluskan pinjaman berjumlah RM6.25 bilion kepada 445 syarikat, dengan kira-kira RM3.5 bilion untuk PKS teknologi.

MDV pada masa ini sedang meninjau lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam beberapa program baharu, bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak syarikat yang diperbadankan tempatan dalam tiga sektor yang dimandatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Bioteknologi dan Teknologi Hijau.

Untuk tahun ini, MDV telah memperuntukkan RM970 juta untuk menyokong sektor-sektor ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mdv.com.my.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer