Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

MDV sasar biaya lebih 300 syarikat

06mdv.transformed

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), pembiaya teknologi menyasar untuk membiayai lebih 300 syarikat dengan potensi pengeluaran hingga RM4 bilion, menerusi dana ketiganya sebanyak RM1 bilion.

Dana terbaharu itu disediakan melalui nota jangka sederhana Islam (IMTN) yang akan menyediakan satu platform untuk MDV mengenal pasti dan membiayai bidang teknologi baharu.

Pengarah Urusan yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya, berkata dana berkenaan dijangka dapat membiayai antara 400 hingga 500 projek yang kebanyakannya dalam Revolusi Industri 4.0.

“Dana kali ini lebih memberi tumpuan kepada teknologi baharu, seperti percetakan 4D, realiti maya dan kecerdasan buatan.

“Kami berusaha untuk membiayai syarikat berpotensi yang mempunyai idea serta perancangan perniagaan yang baik,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Dana Ketiga MDV di sini, hari ini.

Pelancaran dilakukan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Yang turut hadir Pengerusi MDV, Tan Sri Zarinah Anwar.

Md Zubir berkata, dana berkenaan akan membantu syarikat baharu untuk meningkatkan operasi perniagaan, portfolio produk dan perkhidmatan mereka selain memberi lebih tarikan kepada pasaran.

“Bagi dana ini, 15 syarikat sudah dikenal pasti yang membabitkan projek bernilai kira-kira RM100 juta merangkumi pelbagai bidang termasuk percetakan 3D, robotik dan e-dagang yang akan menerima pembiayaan dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

MDV sebelum ini turut menguruskan dua dana, iaitu RM1.6 bilion yang diperoleh menerusi kerjasama Japan Bank for International Cooperation (JBIC) pada 2002 dan kedua sebanyak RM1.5 bilion menerusi IMTN pada 2008.

Sementara itu, Johari dalam ucapannya berkata, kebanyakan projek berasaskan teknologi dianggap berisiko tinggi dan pembiayaan menerusi saluran tradisional sukar untuk diperolehi.

“Bagaimanapun kerajaan yakin projek seumpama itu mampu berkembang lebih jauh dan berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

-Berita Harian

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer