Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

MDV Lulus Pembiayaan RM6.29 Bilion Sejak 2002

-Bernama

MELAKA, 8 Ogos (Bernama) — Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat milik Perbadanan Kementerian Kewangan, meluluskan pembiayaan pinjaman berjumlah RM6.29 bilion kepada lebih 450 syarikat sejak penubuhannya pada 2002.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Zubir Ansori Yahaya berkata MDV memperuntukkan RM970 juta pada tahun ini bagi membiaya dan menyelaras pembangunan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Bioteknologi dan Teknologi Hijau di negara ini.

Beliau berkata pihaknya menjangka 50 peratus daripada jumlah itu diagihkan bagi membiayai projek dalam sektor teknologi hijau.

“Kita melihat peluang pulangan hasil yang cukup positif melalui penyertaan dalam sektor teknologi hijau dan ia merupakan faktor utama kita meramalkan jumlah pinjaman diluluskan bakal disalurkan ke sektor ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya syarikat yang layak boleh menerima pembiayaan kontrak dari serendah RM500,000 hingga RM120 juta.

Md Zubir berkata MDV menawarkan pembiayaan Islam dengan pembayaran yang fleksibel sehingga 15 tahun selain kelulusan yang cepat.

Sementara itu, beliau berkata MDV telah memohon kepada kerajaan bagi menyertai Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi menggalakkan lagi penyertaan syarikat dalam sektor itu.

Melalui penyertaannya dalam GTFS, beliau berkata syarikat yang memperoleh pembiayaan pinjaman MDV boleh menikmati kemudahan 2.0 peratus subsidi kerajaan daripada keseluruhan kadar faedah/keuntungan.

“Pada masa ini, MDV menawarkan kadar keuntungan mengikut pasaran iaitu antara 6.0 hingga 7.5 peratus, namun kadar itu dapat dikurangkan jika kita berjaya menyertai GTFS,” katanya.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer