Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

KMB bina ladang solar RM46 juta

-Berita Harian

Kumpulan Melaka Berhad (KMB) membangunkan projek ladang solar bernilai RM46 juta di Lembah Solar Dunia Melaka di Kawasan Perindustrian Rembia, Alor Gajah, Melaka.

Projek itu milik anak syarikat kerajaan Melaka dibangunkan di kawasan seluas 7,248.43 hektar dan dilaksanakan menerusi tiga fasa.
Bagi fasa pertama, ia membabitkan pembinaan infrastruktur solar berkeupayaan 1.3 megawatt (MW) manakala 1.22 MW bagi fasa kedua dan 2.48 MW untuk fasa ketiga.

Pelaksanaan fasa pertama projek ini dijangka siap pada 15 Disember tahun ini, manakala fasa kedua dan ketiga masing-masing dijadual 15 Januari serta 13 Februari tahun depan.

Pembiayaan projek ini dilakukan menerusi pinjaman RM41 juta dan dibayar dalam tempoh 15 tahun daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), sebuah anak syarikat mlik penuh Perbadanan Kementerian Kewangan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata keseluruhan projek menerusi program feed in tariff (FiT) itu mampu membekalkan tenaga solar sebanyak 6,162 MW per jam setahun.

Katanya, bekalan tenaga elektrik dari ladang itu akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui (REPPA) selama 21 tahun.
Ia akan dilaksanakan sebaik saja sambungan kepada grid TNB dilakukan pada 15 Disember ini.

“Dalam tempoh itu, kita anggarkan projek ini dapat menjana pendapatan kasar sebanyak RM121 juta. Anggaran pendapatan bersih pula adalah RM73 juta dengan pulangan modal bakal diperoleh pada tahun ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan majlis pecah tanah projek itu dan menandatangani perjanjian pembiayaan di tapak Kawasan Perindustrian Rembia, Alor Gajah, semalam.

Pada majlis itu, KMB diwakili Pengarahnya, Aziz Hamid manakala MDV oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Zubir Ansori Yahaya.

Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon dan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Tan Sri Fong Chan Onn.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, KMB turut melantik PV Hi-Tech Solar Sdn Bhd untuk membina infrastruktur dan ladang solar bagi projek itu.

“Pemilihan itu berdasarkan pengalaman syarikat berkenaan dalam kerja pembangunan tenaga solar selain memiliki kilang mengeluarkan panel solar di Lubok China, Negeri Sembilan,” katanya.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer