Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

Dana teroka Novartis lonjak industri biotek

-Berita Harian

Industri bioteknologi negara menerima rangsangan baru berikutan keputusan Novartis International AG, syarikat farmaseutikal multinasional kedua terbesar dunia berdasarkan saiz jualan, menubuhkan dana modal teroka di negara ini.

Modal teroka itu akan dilaburkan secara khusus dalam syarikat tempatan berpotensi tahun ini.
Ketua Eksekutif dan Presiden Negara Novartis Corporation Malaysia Sdn Bhd, Avinash Potnis, berkata ia adalah dana modal teroka kedua ditubuhkan syarikat itu di Asia selepas Korea.

Malaysia muncul peserta utama biotek Asia

Ia sekali gus mengisyaratkan kemunculan Malaysia sebagai antara peserta utama bioteknologi di rantau ini.

“Industri bioteknologi negara mencatat pencapaian menggalak dan mengagumkan sejak Dasar Bioteknologi Nasional (NBP) diperkenalkan. Kami di Novartis tergerak untuk bersama-sama mengembang dan membangunkannya selaras hasrat kerajaan untuk menjadi peserta utama industri bioteknologi global menjelang 2015.

“Penubuhan dana teroka Novartis adalah langkah awal. Kami akan mengenal pasti syarikat berpotensi, melabur didalamnya, membantu mempatenkan produk dihasilkan dan memasarkannya di pasaran dunia,” katanya pada sidang media berhubung persidangan BioMalaysia 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama Ketua Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal; Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), Md Zubir Ansori Yahaya; dan Pengarah Projek PROTEMP Exhibitions Sdn Bhd, Denise Ang.

Tiada peruntukan saiz Dana Teroka Novartis

Avinash berkata, pihaknya tidak memperuntukkan saiz tertentu untuk Dana Teroka Novartis, tetapi berdasarkan pengalaman di Korea, AS$30 juta (RM91.78 juta) adalah purata pelaburan awal dalam sesebuah syarikat.

Dalam perkembangan lain, Md Zubir berkata, MDV menyasar dapat meluluskan RM973 juta pinjaman modal teroka bagi tahun kewangan semasa berakhir Mac 2013, dengan sasaran agihan bernilai RM670 juta.

Beliau berkata, secara terkumpul MDV sudah meluluskan RM6.25 bilion pinjaman setakat ini membabitkan 445 syarikat, yang mana 73 peratus daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Daripada PKS itu, 62 peratus adalah syarikat Bumiputera,” katanya.
Pembiayaan unit milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu ialah menerusi iFactoring dan Struktur Pembiayaan Berkaitan Ekuiti.

Novartis, syarikat farmaseutikal multinasional berpangkalan di Basel, Switzerland, berada di tangga kedua dunia dikalangan peserta industri berdasarkan saiz jualan. Ia mencatat jualan AS$58.566 bilion tahun lalu.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer