Malaysia Debt Ventures Berhad (578113-A)
The Nation’s Leading Technology Financier
MOSTI

Dana industri bantu usahawan ke luar negara

Image

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Peruntukan kerajaan untuk sektor teknologi dan kreatif di bawah dana industri kandungan digital berjumlah RM100 juta dalam Bajet 2015 mampu memberi peluang kepada usahawan teknologi memperluaskan pasarannya ke luar negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Debt Venture Bhd. (MDV), Datuk Md. Zubir Ansori Yahaya berkata, banyak potensi dalam industri teknologi dan kreatif akan berkembang pada tahun depan.
Katanya, pada peringkat ini, para usahawan teknologi tidak perlu lagi memikirkan mengenai pasaran tempatan semata-mata, sebaliknya boleh meneroka peluang pasaran yang lebih besar di luar negara.
“Peruntukan kerajaan yang membantu sektor teknologi dan kreatif bukan sekadar membantu usahawan teknologi memasarkan produk masing-masing di dalam dan luar negara, sebaliknya dana itu akan menjadi tulang belakang kepada syarikat-syarikat teknologi dan kreatif untuk terus berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini,
Dalam Bajet 2015, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta di bawah industri kandungan digital yang akan disalurkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM). Pengenalan dana ini dilihat merupakan lanjutan daripada pengenalan dana yang lebih kurang sama pada tahun 2012 melalui MyCreative Ventures.
Melaluinya, pelbagai kandungan digital dan kreatif dijangka menerima kesan positif, terutamanya yang melibatkan animasi.
Kerajaan juga akan meneruskan usaha memperluaskan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi dan sebanyak RM2.7 bilion akan dibelanjakan untuk tempoh tiga tahun akan datang yang melibatkan pembinaan menara pencawang dan juga kabel dasar laut.
Kerajaan juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk beberapa program, termasuk mempertingkatkan produk-produk inovatif, selain menawarkan dana untuk kajian dan yang berkaitan dengannya.
Tambah Md. Zubir Ansori, bantuan dan sokongan kerajaan untuk industri teknologi dan kreatif juga dapat meningkatkan penyertaan berganda usahawan teknologi pada tahun hadapan.
Katanya, MDV juga akan memainkan peranan dengan menawarkan kemudahan pembiayaan untuk menggalakkan lagi penyertaan usahawan dalam industri teknologi dan kreatif ini.
“Kami sudah membiayai banyak syarikat tempatan dan sehingga kini, terbukti banyak yang mencipta kejayaan,” ujarnya.
Jelas Md. Zubir Ansori, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang turut terlibat dengan projek-projek lebuh raya dan Transit Aliran Massa (MRT) laluan tambahan juga menerima impak daripada pengumuman peruntukan kerajaan di dalam Bajet 2015.
Katanya, MDV bersedia menawarkan kemudahan pembiayaan kepada syarikat-syarikat atau kontraktor-kontraktor yang terlibat dalam projek-projek kerajaan tersebut.

Best viewed with Internet Explorer 7.0, Firefox 1.5 and Flash Player 8 and above.
© 2013 Malaysia Debt Ventures Berhad. All rights reserved. Please read our Disclaimer