KUALA LUMPUR 30 Dis. - Industri bioteknologi Malaysia dijangka
berkembang antara lapan hingga 10 peratus pada 2010, dipacu oleh
sentimen ekonomi global yang bertambah baik dan penekanan untuk
mengkomersialkan produk tempatan dalam pasaran antarabangsa, kata para
penganalisis.
Mereka berkata, pertumbuhan itu juga sejajar dengan pasaran bioteknologi global yang dijangka terus meningkat pada 2010.
Para penganalisis itu juga meramalkan pasaran bioteknologi global
bernilai kira-kira AS$306 bilion (RM1.04 bilion) menjelang 2013, dengan
bioteknologi dijangka menjadi antara sektor paling menguntungkan di
rantau Asia Pasifik.
Menurut firma penyelidikan antarabangsa RNCOS, kerajaan Asia
menjadikan bioteknologi satu keutamaan, mengiktiraf potensi pertumbuhan
industri yang amat besar dan kepentingan strategiknya.
Dengan industri bioteknologi menghampiri fasa matang di pasaran maju
seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, dikatakan bahawa
kebanyakan syarikat bioteknologi kini menyasar pasaran membangun
seperti India, bagi pertumbuhan seterusnya.
Di pasaran tempatan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi
Malaysia (Biotechcorp) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, industri
berkembang dengan ketara sejak Dasar Bioteknologi Negara diperkenalkan
pada 2005.
"Dalam tempoh singkat empat tahun, industri telah berkembang dengan pesat.
Apabila dasar itu diperkenalkan, kami terpaksa bermula daripada permulaan," kata Iskandar Mizal kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau berkata, dasar itu diperkenalkan dalam tiga fasa untuk berfungsi secara asasnya sebagai wadah bagi pembangunan industri.
Menurut Iskandar Mizal, fasa satu (2005-2010) disasarkan bagi
pembangunan keupayaan dan prasarana, termasuk penubuhan majlis
penasihat dan pelaksanaan, pendidikan dan latihan pekerja
berpengetahuan, pembangunan perniagaan dan pewujudan industri dalam
bioteknologi pertanian.
"Fasa dua (2011-2015) adalah untuk membawa penyelidikan makmal ke
dalam pasaran manakala fasa akhir adalah aspek pengkomersilan, yang
menumpukan untuk membawa syarikat Malaysia ke peringkat global,"
jelasnya.
Sehingga Disember 2009, terdapat 135 syarikat BioNexus di Malaysia dengan jumlah pelaburan dilulus lebih RM1.51 bilion.
Empat daripada syarikat BioNexus telah disenaraikan â satu di Bursa
Saham London, satu lagi di Bursa Saham Australia dan dua di Bursa
Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan kemunculan
50 lagi syarikat berstatus BioNexus dalam tempoh dua tahun akan datang,
menjadikan jumlahnya kepada 185. Status BioNexus bersamaan dengan
status Koridor Raya Multimedia, di mana syarikat-syarikat mendapat
pelepasan cukai dan geran kerajaan untuk penyelidikan.
Sementara itu, industri bioteknologi ketika ini menyumbang kira-kira
1.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara. Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili baru-baru ini
berkata di bawah fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara, sumbangan itu
dijangka meningkat kepada 2.5 peratus daripada KDNK.
"Semua negara sedang beralih kepada industri bioteknologi. Ini bukan
hanya daripada perspektif penjagaan kesihatan tetapi juga dalam
pertanian bagi bekalan makanan mampan dan bagi tenaga boleh
diperbaharui," kata Iskandar Mizal.
Beliau berkata, industri dijangka berdepan dengan beberapa cabaran ketika ia bergerak ke arah fasa pengkomersialan.
"Ketika kita bergerak ke fasa ini, terdapat lebih banyak cabaran.
Tetapi berdasarkan kepada platform kukuh yang dibina, kami amat
optimistik untuk bergerak kehadapan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan platform bagi pertumbuhan dan
sektor swasta harus mengambil peluang tersebut untuk mengembangkan lagi
industri.
"Platformnya sudah ada. Mereka kini perlu mengambil peluang untuk
mempercepatkan pertumbuhan industri. Juga terdapat banyak peluang yang
ditawarkan," katanya. - Bernama