INDUSTRI bioteknologi Malaysia dijangka berkembang antara lapan
hingga 10 peratus pada 2010, dipacu oleh sentimen ekonomi global yang
bertambah baik dan penekanan kepada usaha mengkomersilkan produk
tempatan di pasaran antarabangsa.
Penganalisis berkata, pertumbuhan itu juga sejajar dengan pasaran bioteknologi global yang dijangka terus meningkat pada 2010.
Mereka juga mengunjurkan pasaran bioteknologi global bernilai
kira-kira AS$306 bilion menjelang 2013, dengan bioteknologi dijangka
menjadi antara sektor paling menguntungkan di rantau Asia Pasifik.
Mengikut firma penyelidikan antarabangsa RNCOS, kerajaan Asia
menjadikan bioteknologi satu keutamaan, mengiktiraf potensi pertumbuhan
industri yang amat besar dan kepentingan strategiknya.
Dengan industri bioteknologi menghampiri fasa matang di
pasaran maju seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kebanyakan
syarikat bioteknologi kini menyasar pasaran membangun seperti India,
bagi pertumbuhan seterusnya.
Di pasaran tempatan, Ketua Eksekutif Perbadanan Bioteknologi
Malaysia (Biotechcorp) Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, industri
berkembang dengan ketara sejak Dasar Bioteknologi Negara diperkenalkan
pada 2005.
"Dalam tempoh singkat empat tahun, industri ini telah berkembang dengan
pesat. Apabila dasar itu diperkenalkan, kami terpaksa bermula daripada
permulaan," kata Iskandar Mizal kepada Bernama dalam satu temu bual
baru-baru ini.
Beliau berkata dasar itu diperkenalkan dalam tiga fasa untuk berfungsi secara asasnya sebagai wadah bagi pembangunan industri.
Iskandar Mizal berkata, fasa satu (2005-2010) disasarkan bagi
pembangunan keupayaan dan prasarana, termasuk penubuhan majlis
penasihat dan pelaksanaan, pendidikan dan latihan pekerja
berpengetahuan, pembangunan perniagaan dan pewujudan industri dalam
bioteknologi pertanian.